Friday, 25 May 2018

Ride Kellie's Castle @ 23/04/2018 (PART 2/2)


Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak

Menghala semula ke pekan Gopeng, tak jauh dari Kellie's Castle tadi terdapat sebuah masjid. Memang elok sangatlah, boleh aku bersolat & berehat seketika. Cuaca pun memang agak terik ketika ini. 

1400HRS @ Masjid Ar-Rahmaniah, Kg.Kepayang, Batu Gajah

Masjid baru, walaupun kecil tapi selesa
Selesai solat, aku kembali menggolekkan tayar untuk pulang. Dah menjadi satu tabiat bila ride, aku akan cuba guna laluan yang berlainan untuk pergi & pulang. So, untuk kali ni aku akan menggunakan Jalan Persekutuan (Route 1), bermula dari Gopeng hingga ke Rawang.


Banyak juga kawasan/pekan yang tak pernah aku lalui sepanjang laluan ini. Jangan kata Perak la, yang di Selangor sendiri pun banyak tempat tak redah lagi hahaha.. Menyusuri pekan lama Gopeng, kelihatan beberapa baris bangunan lama yang masih dikekalkan. Teringat pula 'pekan mati' di Teronoh yang pernah aku jejaki sekali semasa menjadi 'pak supir', memang tenang & senyap sunyi walaupun berpenghuni. Mungkin dek kerana banyak perusahaan besar yang telah berpindah ke tempat lain, kebanyakan pekan di negeri Perak ini kurang pembangunan baru.


Pekan lama Gopeng
Aku berhenti seketika di tinggalan batang paip besar yang terletak tak jauh dari stesen minyak Shell. Sambil mendapatkan info, kelihatan seorang lelaki berbangsa cina memberhentikan Proton Iswara merahnya tak jauh dari aku & meninjau kawasan sekitar.


Akhirnya kami bertegur sapa & berbual-bual. Rupa-rupanya uncle ni dilahirkan & membesar di kawasan Gopeng ini, sekarang menetap di negeri Johor. Memandangkan ketika ini adalah Cuti Tahun Baru Cina, dia & isteri mengambil kesempatan mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak dahulu.


Menurutnya, paip ini dahulunya membekalkan air ke kawasan lombong bijih timah. Pada asalnya sepanjang 13.6 km paip air berdiameter 14 inci telah dipasang, dari kawasan Ulu Geruntom & Ulu Geroh. Berikutan peningkatan permintaan bijih timah pada tahun 1914, ianya telah dinaiktaraf ke saiz berdiameter 45 inci. Pada tahun 1930, dua batang paip lagi telah disambung menjadi panjang keseluruhan 15 km.

Permintaan timah telah menurun pada tahun 1970-an & akhirnya dihentikan operasi. Kesemua batang paip & tiang penyokong telah dirobohkan demi keselamatan orang ramai. Hanya tinggal dua batang paip sepanjang 30 meter ini sahaja yang dikekalkan, sebagai rujukan bahan sejarah.



Dari kisah batang paip hinggalah ke kisah mandi lombong sambil menangkap ikan zaman kanak-kanak dulu. Memang seronok berbual Uncle Lim yang peramah ni. Sembang lebih kurang, aku pun minta diri untuk beredar.

"U balik mana?"
"Klang,uncle"
"Waa jauh haa naik motor macam ni"
"Tak jauh la uncle, 2-3 jam sampai la"
"Bagus la, lain kali mari Perak lagi, ada banyak tempat u boleh tengok" 

Pesan Uncle Lim mengakhiri perbualan kami. Kembali memulas throttle, kelihatan pemandangan yang menarik di sebelah kiri sepanjang perjalanan - pemandangan gunung dari sebahagian Banjaran Titiwangsa nun jauh di sana. Haihh rugi tak ambil gambar haha..



Dari Gopeng, aku menghala ke Gua Tempurung pula. Perjalanan melalui jalan persekutuan ni memang menyeronokkan kerana dapat menikmati suasana kampung. Gerai durian pun banyak tapi tak lalu pula nak singgah & makan sorang-sorang hehe..

1515HRS @ Gua Tempurung, Perak
Beberapa bulan lepas aku dah sampai di Gua Tempurung ni. Ketika tu membawa rombongan satu syarikat dari KL ke Gopeng untuk aktiviti rafting di tempat sorang sahabat, Ajib. Ajib merupakan pemilik Outworld Expedition yang menjalankan aktiviti rafting & mempunyai basecamp di Gopeng. Boleh lawati White Water Rafting Gopeng untuk maklumat lanjut. Jadi, semasa mereka menjalankan aktiviti ketika itu, sempatlah aku meninjau kawasan ni.

Gua Tempurung merupakan gua batu kapur yang terpanjang & terbesar di Semenanjung Malaysia. Sangat sesuai untuk mereka yang meminati aktiviti 'caving', anda boleh berjalan masuk ke dalam gua batu kapur ini yang dilengkapi dengan lampu & tangga untuk keselesaan pengunjung. Terdapat 4 jenis pakej ditawarkan mengikut cabaran yang disediakan, dari 'beginner' hinggalah ke 'advance' yang akan berjalan menyusuri sungai di dalam gua tersebut.




Tak boleh nak meninjau lebih lama sebab hari dah semakin petang. Dari Gua Tempurung, aku melewati kawasan Kampar & Temoh sebelum tiba di pekan Tapah.


Pekan Kampar, Perak

Taman Rekreasi Temoh, Perak
Tiba di pekan Tapah, aku membelok hala ke Tapah Road. Tak pernah sampai sebenarnya, so nak tinjau apa yang ada di sana. Tapah Road merupakan sebuah pekan kecil. Di sini terdapat stesen keretapi yang merupakan stesen keretapi tertua di Malaysia. 

Tinjauan aku ke kawasan stesen ini mendapati bangunan stesen & rumah lama kakitangan Keretapi Tanah Melayu masih lagi dikekalkan, walaupun stesen baru telah dibina bagi menggantikan yang lama. Tapi oleh kerana keadaan sekeliling yang sangat sunyi tiada orang langsung, cepat-cepat aku beredar sampai terlupa nak ambil gambar hahaha.. Lagipun masa masuk ke kawasan ni kelihatan orang tempatan 'usha' pelik je, so macam tak sedap hati pula, tambahan pula aku sorang-sorang je kan.

1615HRS @ Tapah Road, Perak

Pemandangan stesen keretapi Tapah Road dari jambatan di jalan utama. Kelihatan stor & rumah lama di sebelah kanan.
Sedar tak sedar, rupanya aku belum makan tengahari lagi. Ni la akibatnya kalau dah leka meninjau sana sini hahaha.. Berpatah balik semula ke pekan Tapah, terlihat satu deret gerai makan di tepi sungai. Moh ler kita makan dulu yeop..



Best juga duduk makan di medan selera yang terletak bertentangan dengan Pejabat Jabatan Parit & Saliran Tapah ni, sebab terletak di tepi sungai. Makan menghadap kawasan hijau dengan deruan air sungai mengalir, tenang je rasanya. Kebanyakan gerai di sini dibuka pada malam hari, jadi tak banyak pilihan makanan pada waktu siang.



Selesai makan, aku meneruskan perjalanan. Dari pekan Tapah, aku melewati kawasan Bidor, Sungkai, Trolak, Slim River, Behrang, Ulu Bernam & Kerling sebelum berhenti mengisi minyak di Shell Kuala Kubu Bharu (KKB).

1830HRS @ Shell KKB, Selangor
Take 5 pekena nescafe sat
Selain dari plan aku untuk melalui jalan persekutuan dari Gopeng ke Rawang, ada satu lagi lokasi yang ingin aku sampai - Rawang Bypass (Route 37). Perjalanan dari Shell KKB ke sana mengambil masa lebih kurang 30 minit, melalui kawasan Rasa, Batang Kali & Serendah.

Rawang Bypass adalah highway tanpa tol sepanjang 9 km yang dibina sebagai jalan pintas untuk menghubungkan Serendah-Selayang. Jika sebelum ni pengguna jalanraya terpaksa mengambil masa hampir 2 jam kerana kesesakan lalulintas, kini ianya hanya mengambil masa 30 minit sahaja. 

1900HRS @ Rawang Bypass, Selangor


Menariknya di sini, selain menjimatkan masa perjalanan, highway ini merentasi kawasan tinggi bukit bukau yang menghasilkan pemandangan indah di sepanjang jalan. Highway yang baru dibuka pada 29 November 2017 yang lalu ini juga mempunyai jambatan yang tertinggi di Malaysia - 58.2 meter. Kalau kata setingkat bangunan tinggi sekitar 5 meter, bayangkan ketinggian jambatan ini bersamaan dengan 11 tingkat bangunan.


Alang-alang dah senja, aku ambil kesempatan menikmati pemandangan matahari terbenam di sini yang memang indah. Subhanallah memang cantik.. Walau bagaimanapun, pengguna jalanraya tak digalakkan untuk berhenti di sini memandangkan kenderaan yang lalu lalang di sini agak laju. Kalau sorang-sorang macam aku ni boleh la kot hehe..


Hari pun dah mula gelap, aku pun meneruskan perjalanan pulang ke Klang. Berhenti singgah solat di Plaza Tol Jalan Duta, alhamdulillah hampir jam 9.00 malam aku tiba di rumah.

Tapi.. cerita tak habis di situ hahaha.. Dapat pula jemputan dari rakan-rakan di Banting untuk ride ke Melaka, pekena asam pedas. Luruskan badan sekejap, jam 10.00 malam aku kembali menggolekkan tayar bersama yang lain menuju ke Melaka.

0130hrs @ Asam Pedas Pasar Borong, Batu Berendam, Melaka
Penampilan Amy yang sekian lama tak ride hahaha..
Dah kenyang balik la lagi apa mau haha..

Hampir 30 biji motor juga malam tu, dengan macam-macam masalah melanda akhirnya jam 1.15 pagi kami tiba di lokasi haha.. Macam biasa, Asam Pedas Pasar Borong di Batu Berendam menjadi pilihan kami, sedap, murah & yang penting tak perlu nak hadap traffic light yang bersusun menuju ke Bandar Melaka. 


Hampir jam 5.00 pagi sampai semula ke rumah. Hahaha dah macam overlander.. Nak kata gila sangat nak ride tu tak juga cuma menjaga silaturrahim sesama rakan-rakan.


-matthafidz-




Wednesday, 23 May 2018

Ride Kellie's Castle @ 24/03/2018 (PART 1/2)

24/03/2018 - kalau ikut plan asal, aku ajak Joe pergi ride, tapi takde hala tujuan haha.. Joe pula masa tu ada hal yang tak dapat dielakkan. Aku ni kalau kepala dah set nak ride, aku mesti kasi jadik punya. Malam tu pun dok mencongak-congak lagi mana aku boleh pergi & balik dalam masa sehari. 

Bosan pulak hitam semua, kita tukar selera sket kaler rim tu hehe..
Jam 7.20 pagi, aku mula menggolekkan tayar. Kebetulan Ust Lutfi, Agis & rakan-rakan mereka nak ride ke Pulau Pangkor pagi tu, boleh la aku 'tumpang' ride separuh jalan. Lepas tu nanti baru fikir nak ke mana hahaha.. Maka aku pun terus la menuju ke Shell NKVE Highway, tempat ust Lutfi & lain-lain berkumpul. 

0800HRS @ Shell NKVE Highway, PJ
Sebelum ke Pulau Pangkor, mereka akan singgah di Kellie's Castle & Muzium Bijih Timah Tg.Tualang, so ok lah kan aku menyelit sekejap. Nampak tak 'penyakit' mencari tempat bersejarah tu dah menular hahaha.. Kalau dulu selalunya bila sebut ride je, pergi makan, mandi manda, sembang-sembang & balik, tapi sekarang ada berbagai-bagai aktiviti yang boleh dilakukan.

Selesai sesi bacaan doa, kami pun menggolekkan tayar. 2 biji LC135, 8 biji Y15, yang pastinya ramai muka yang aku baru kenal kali ni. 

Dari PJ, kami berhenti pula di Hentian Sebelah Tg.Malim untuk mengisi minyak. Sebaik sahaja kembali ke highway, salah sebuah motor mengalami masalah. Kebetulan aku berada di belakang bersama Agis, so kami temankan Ust Haris. Melihat keadaan motor yang semakin hilang 'power', Agis selaku lastman terus bergerak ke depan untuk beritahu pada yang lain. Aku pula meneman & akhirnya menunda motor Ust Haris bilamana kelajuan maksimum tinggal hanya 50kmh. Kami pun keluar di exit Slim River. Alhamdulillah ada kedai motor yang dah dibuka.

0930HRS @ Pekan Slim River
Kuan Fatt Motor, antara kedai yang terhampir dengan plaza tol Slim River. Sementara menunggu pomen untuk memeriksa keadaan motor Ust Haris, aku pun mencuci mata ke dalam kedai. Perghh banyak juga motor-motor lama yang dijual di sini, tapi harga agak seramm hahaha..



Selang beberapa minit, penyakit dikenal pasti & memang tepat jangkaan kami - clutch plate abis daa.. Perjalanan baru bermula, nak tak nak terpaksa la repair juga. Walau harga agak mahal, tapi apek pomen ni memang cekap & cepat buat kerja, orang lama la katakan. Takpelah janji selesai masalah.

Konon balik dari Pangkor nanti nak tukar, tak sempat gamaknya

Sarapan atas motor la kita hari ni ye Ust Haris hehe..

Owner 125ZR ni nak ke MAEPS Serdang, jem la plak Movistarnya
Sementara menunggu kami, Agis & lain-lain bersarapan di Nasi Bamboo Sg.Klah. Alhamdulillah jam 11.00 pagi motor pun siap, lalu kami meneruskan perjalanan & bertemu semula di plaza tol Sungkai. 

Dari Sungkai, kami terus menghala ke exit Gopeng. Cuaca pun memang agak cantik ketika itu, tiada tanda-tanda nak hujan hehe.. Jam 12.00 tengahari, kami berhenti seketika untuk mengisi minyak di pekan Gopeng sebelum meneruskan perjalanan ke Kellie's Castle.

1200HRS @ Shell Gopeng

1230HRS @ Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak
Ini merupakan kali pertama aku menjejak kaki ke sini. Banyak kali juga lalu di kawasan ni sebelum ni tapi tak pernah berkesempatan untuk singgah. Ok jom kita kaji apa yang hebat sangat istana ni hingga menjadi salah satu lokasi pelancongan.


Gerai menjual cenderahati & kraftangan





Kellie's Castle ataupun Istana Kellie adalah sebuah istana terbengkalai yang dibina oleh seorang lelaki berasal dari Scotland, William Kellie Smith. Dia telah datang ke Tanah Malaya sekitar tahun 1890-an untuk mengusahakan tanaman pokok getah & lombong bijih timah. Usahasama perniagaannya berkembang maju, dengan memiliki Kinta Kellas Estate & syarikat Kinta Kellas Tin Dredging.

Pada tahun 1903, Smith telah pulang ke Scotland & berkahwin dengan Agnes. Mereka kemudian menetap kembali di Tanah Malaya. Dia sangat menginginkan seorang anak lelaki untuk mewarisi empayar perniagaannya. Hanya selepas beberapa tahun barulah mereka dikurniakan anak lelaki (anak kedua bernama Anthony). Sebagai meraikannya, beliau membina istana ini untuk keluarganya. Ada juga yang mengatakan istana ini dibina khas untuk isterinya, Agnes.

Kalau dah nama engineer, abih semua ditelitinya haha..


Tinggalan binaan rumah lama Smith yang dinamakan Kellas House

Sisa binaan rumah asal yang sepatutnya bersambung dengan istana baru

Korridor penghubung Kellas House & Kellie's Castle

Apa yang diintai tu Ust Izwan??

Owh ada ramai yang membuang duit dalam perigi ni rupanya hihi..

Ada wedding photoshoot lagi
Oleh kerana minat Smith kepada agama & seni binaan India, dia mengimport batu & jubin dari sana untuk istananya ini.. Malah dia juga membawa masuk 70 orang pekerja binaan dari Madras bagi merialisasikan impiannya. Malangnya serangan penyakit menyebabkan ramai pekerjanya mati & menyebabkan kerja-kerja pembinaan menjadi perlahan, ditambah pula dengan keadaan Perang Dunia Pertama selepas itu. Akhirnya, istana ini gagal disiapkan.

Istana yang sepatutnya berdiri megah di tepi Sungai Raya ini mempunyai terowong keselamatan bawah tanah jika berlaku kecemasan. Ianya juga menjadi bangunan pertama di Tanah Malaya yang mempunyai lif 6-tingkat, dari bawah tanah hingga ke atas bumbung. Malangnya Smith telah jatuh sakit & meninggal dunia pada umur 56 tahun, ketika dia ke Portugal. Ada yang mengatakan dia ke sana bagi mengambil lif untuk istananya ini.



Satu ruang yang dilengkapkan dengan perabot sebagai gambaran sekiranya istana ini siap sepenuhnya


Tangga menuju ke terowong bawah tanah


Agnes kemudian menjual istana ini kepada sebuah syarikat British (Harrisons and Crossfield) & dia pulang ke Scotland. Anaknya, Anthony pula telah mati semasa Perang Dunia Ke-2. Agnes tidak lagi pulang ke sini selepas itu. Ada yang mengatakan terdapat kisah mistik di mana kelibat seakan roh Smith berlegar di korridor istana ini pada waktu malam.


Ruang informasi berkenaan sejarah istana ini

Balkoni yang dikatakan berhantu


Sisa tinggalan binaan Kellas House

Ruang lif menghubungkan tingkat bawah tanah hingga ke atas bumbung


Ruang atas bumbung untuk majlis keramaian
Ianya bukanlah sebuah kisah sejarah Tanah Malaya, namun ia wajar dikekalkan sebagai sebuah monumen yang mempunyai ciri-ciri binaan yang indah. Mirip Taj Mahal, Smith membina istana ini untuk isteri & anaknya, tapi malangnya ia tak dapat disiapkan.


Selesai sesi 'lawatan sambil belajar', kami berehat sebentar sebelum berpisah. Ust Lutfi & lain-lain meneruskan perjalanan ke Pulau Pangkor, manakala aku akan berpatah semula pulang ke Klang.


Bersambung...


-matthafidz-