Saturday 18 June 2016

Ride Satar @ 05/06/2016

Alhamdulillah dah masuk hari ke-13 umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan pada tahun 2016 ni. Puasa tahun ni agak mencabar dengan cuaca yang agak panas, tapi tak terasa kehangatannya kerana trip limo pun agak hangat hehe.. Mana taknya, 2 tahun puasa sebelum ni 'trip mangkau' bak kata geng limo, kerja pagi sampai malam boleh dapat 4 trip sahaja, tapi tahun ni syukur alhamdulillah jauh lebih baik, hampir seperti hari-hari biasa. Ok tolak tepi cerita kerja, kita cerita pasal ride.

Sebelum menjelang bulan Ramadhan tempoh hari, satu lagi 'One Day Ride' telah dilakukan dengan jayanya. Perancangan awal nak ke Tanjung Piai, Johor ataupun dikenali sebagai penghujung benua Asia Tenggara, tapi memandangkan jumlah jarak perjalanan menghampiri 800km (pergi-balik), kami mengubah haluan ke Kuantan, Pahang kerana nak ride sehari sebelum puasa, masing-masing nak sampai awal di rumah.

Pergi & balik Klang-Kuantan lebih kurang 600km
Kalau ikutkan macam takde tempat tujuan utama di Kuantan ni. Tanya kawan-kawan yang biasa dengan kawasan sana pasal kedai makan, rata-rata sebelah petang je banyak yang menarik. Hmm takpe la kita redah je la ke Teluk Cempedak dulu, nanti pandai la kita cari haluan. PERANCANGAN AWAL KATANYA HAHAHA..

Seperti biasa aku, Ijal (LC135) & Joe (Y15) adalah rider tetap. Dari 7 orang yang nak follow, akhirnya hanya 2 orang sahaja lagi yang berjaya. Nasz rakan kami dari Banting akan melenjan motor barunya, Y15 Movistar & sorang lagi adalah Along (Y15), kawan Joe semasa dia tinggal di Padang Jawa, Klang suatu ketika dahulu.

Maka seperti biasa, pada pagi 05/06/2016 kami pun berkumpul di starting point kami di Bandar Puteri, Klang. Konon nak gerak jam 7 pagi tapi kita mampu merancang hanya Tuhan menentukan.. Tunggu punya tunggu last-last jam 8.20 pagi baru menggolekkan tayar. Hmm lepas ni kena buat penalti la siapa lambat kena payung makan tengahari la kan haha..

8.20am @ McD Bandar Puteri Klang
Dari Klang, kami menggunakan Highway KESAS, PLUS, DUKE & terus ke BHP Gombak. Salah satu sebab nak ke Kuantan ni kerana masing-masing nak menikmati 'pemandangan indah' Highway Karak katanya. Hehe ikut suka la janji enjoy ride sama-sama. Lebih kurang jam 9 pagi kami tiba di BHP Gombak. Topup minyak & setelkan apa yang patut sebelum meneruskan perjalanan.

9.00am @ BHP Gombak
Cuaca pun dah semakin terik. Dihangatkan lagi dengan geng-geng SBK yang memang berkumpul di sini setiap pagi minggu. Jadi sebelum diorang 'conquer' jalan, kita gerak dulu la hehe.. Maka bermula la cabaran melayan selekoh-selekoh di Highway Karak. Nak kata laju tu tak la juga, maklumlah motor kapcai je kan, tapi ada juga yang stim layan corner siap turun bontot haha.. Nasib baik tak sempat nak snap!!

Dari BHP Gombak, kami berhenti pula di Petronas Bentong (Highway Karak) pada jam 9.30 pagi. Bukannya apa, bila dah layan corner ni mesti ada yang 'ter' ke depan & 'ter' ke belakang hehe.. Dah berhenti lebih kurang 10 minit, kami meneruskan perjalanan ke hentian seterusnya..

10.30am @ R&R Temerloh East Bound
Jam 10.30 pagi, kami tiba di R&R Temerloh. Perghh boleh tahan juga layan naik kapcai ni kat Highway LPT rupanya ye. Ditambah pula dengan cuaca yang agak panas, memang menguji mental la. Seperti biasa, berhenti untuk mengisi minyak & mengambil sedikit nafas. Ride kapcai macam ni la, kena banyak kali berhenti sebab tank kecil kan, tapi bagus juga dapat berehat & regangkan urat seketika. Berhenti pun tak boleh lama sebab perjalanan masih jauh. Lebih kurang 10 minit berhenti, kami pun meneruskan perjalanan ke destinasi kami, Kuantan, Pahang.

Dengan kelajuan sekitar 120kmh meter Y15, setelah meredah cuaca panas & angin di Highway LPT, akhirnya kami mengambil exit Gambang untuk ke Kuantan. Apa-apa pun, singgah di Petronas Gambang untuk mengisi minyak & berehat seketika.

11.30am @ Petronas Gambang, fuhh panas merecikk!!
Tak jauh dah tu..
Dalam masa melepak berehat di sini, sembang punya sembang, ada pula yang gatal mulut..

"Macam awal lagi la Joe, Kemaman la jom" kata Ijal
"Jomm, aku memang teringin nak makan satar ni" balas Joe bersemangat

Hahaha dari Klang nak ke Pahang, dah sampai Pahang nak ke Terengganu la pulak!! Sebenarnya memang dari awal lagi Joe dah bagi cadangan nak ke Kemaman tapi masing-masing macam tak konfiden. Mana taknya, nak ke Kuantan pun dah cukup jauh rasanya. Tapi bila dah sampai Gambang ni, bila difikir-fikir memang bagus pun idea tu. Pertama, jarak dari Gambang ke Kemaman pun dah tak jauh mana, tak sampai 100km dah. Kedua, Joe kata ada tempat makan satar sedap kat sana. Bila ke tempat orang, kena la cari suatu kelainan kan. So apa lagi tunggu, kita kasi pulas throttle lagi la!!

Dari Petronas Gambang, kami keluar semula ke Highway LPT menuju ke exit Jabor. Dalam cuaca yang panas terik, melintasi kawasan 'perlombongan' bauksit, kemudian melalui kawasan Cherating, ishh macam tak percaya je sebab selalunya kalau ada ride ke Cherating pun mesti 2D1N punya la.

Melepasi kawasan Cherating, kami memasuki kawasan Chukai & seterusnya ke Kemaman. Di sini terdapat suatu pemandangan yang memang aku suka dari dulu lagi. Keadaan jalanraya yang lapang, ditambah pula dengan rumah-rumah di jalan persisir pantai memang menenangkan. Sayang tak dapat snap gambar sebab fokus nak sampai ke tempat makan. Lagipun bila bergerak dalam kumpulan ni leceh sikit la nak berhenti sana sini. Haa nampak tak kelebihan solo ride hehe..

Apabila melintasi pintu gerbang 'SELAMAT DATANG KE TERENGGANU' masing-masing dah tersenyum lebar!! Hahaha macam mimpi pulak kan boleh ride ke sini. Tanpa membuang masa, Joe pun terus guide kami ke tempat makan. Inilah kelebihan Joe, segala pelusuk tempat makan dia tau, rider kental sejak zaman dulu kala lagi la katakan, memang sesuai la jadi 'Exco Makanan' masa kat asrama sekolah dulu haha..


1.00pm @ Warung Aziz Satar, Kuala Kemaman, Terengganu
Akhirnya tiba lah kami di Warung Aziz Satar, Kuala Kemaman, Terengganu. Pheww memang jauh perjalanan kali ni. Perut masing-masing pun memang tengah lapar, apa lagi kita makan la. Jom tengok apa yang ada di sini..


Satar & otak-otak
Beraneka jenis pais
Sotong & ikan celup tepung
Udang & ketam celup tepung
Beraneka jenis mi
Pulut mangga, pulut durian & seumpamanya
Air kelapa, ABC & sebagainya
Bukan sate ikan Pulau Pangkor tu tau
Beraneka jenis keropok
Pheww memang berbaloi datang sini, macam-macam ada. Nasi campur, nasi kukus, pelbagai mi, satar, otak-otak, ikan, sotong, udang, ketam celup tepung, kuih akok, pulut mangga, durian, satay ikan, keropok, ehh macam-macam la tak boleh listkan semua haha.. Satu benda yang pertama kali jumpa di sini adalah 'pais'. Kedai sempoi giler, bumbung zink beserta kipas yang berpusing hidup segan mati tak mau, tapi pelanggannya penuh kedai. Dengan pelbagai menu yang ada, memang tak hairan la orang ramai akan singgah makan di sini.



Dah berjemur atas motor, kena sauna kat sini pulak haha
Inilah dia pais kalau tak tau
Harga makanan pun tak la mahal mana. Antaranya udang/sotong tepung sepinggan RM10, ketam tepung seekor RM10-RM13 bergantung pada saiz, pais RM3-RM5 bergantung pada jenis & satar RM3 untuk 6 biji. Kalau ikut hati nak try kesemuanya, tapi mengenangkan jarak nak pulang ke Klang nanti agak jauh, so kena la kontrol makan takut ada yang terlena atas motor hihi..

Makan sudah, minum pun sudah, kami pun berangkat untuk menunaikan solat. Ride, ride juga, kewajipan jangan dilupa!! Kami berpatah semula ke jalan utama & singgah di Masjid Geliga. Lama juga berhenti di sini untuk solat & berehat sebelum beraksi semula di jalanan hehe..





Selesai berehat & meluruskan urat-urat badan, jam 3.10 petang kami menggolekkan tayar semula untuk pulang ke Klang. Apa-apa pun singgah di pintu gerbang sebagai bukti 'kerja giler' kami hari tu..



Menuju ke Petronas Cherating, kami singgah sebentar di gerai tepi jalan untuk membeli sedikit buah tangan. Di kiri kanan jalanraya kawasan ini memang penuh dengan gerai-gerai menjual keropok, satar, pais & pelbagai jenis makanan. Harga dah tentulah murah kalau nak dibandingkan dengan tempat kami. Dapatlah bawa pulang satar original yang betul-betul rasa ikan haha.. Kalau di KL, rasa kelapa je lebih..



Tu keropok Nasz bukan belacan
Nak beli yang mentah tapi tak jual pula hehe
Lebih kurang jam 3.30 petang, kami menyambung semula perjalanan. Dari Petronas Cherating, kami menuju semula ke Highway LPT & terus menghala ke KL. Seperti biasa, banyaklah 'pitstop' untuk mengisi minyak. Keadaan cuaca memang panas & agak baik petang itu, cuma apabila memasuki Highway Karak, hujan mulai turun. Ditambah pula dengan jumlah kenderaan yang banyak menuju ke KL, tak dapat lah masing-masing nak melayan corner hehe..


4.45pm @ R&R Gambang

6.00pm @ R&R Temerloh West-Bound
7.30pm @ R&R Genting Sempah
Hentian terakhir kami adalah di Tol Jalan Duta untuk menunaikan solat maghrib sebelum masing-masing pulang ke rumah. Alhamdulillah perjalanan kami selamat pergi & pulang tanpa sebarang masalah & kejadian yang tak diingini berlaku. Syukur Allah permudahkan perjalanan kami.


Total jarak perjalanan kali ini dari Klang ke Kemaman & pulang semula ke Klang adalah 682.9km. Fuhh hampir 700km juga rupanya. Nampaknya makin lama makin meningkat jarak ride ni hehe.. Kos untuk minyak, makan & lain-lain pula sekitar RM100. Dengan kos sebegini, memang berbaloi lah kan. Cuma kental tak kental je lah nak layan ride naik kapcai nih. Apapun terima kasih semua rakan-rakan ride yang bekerjasama dengan cemerlang. Korang memang terbaikk!! InshaAllah kita ride bersama-sama lagi selepas ini.

Next ride?? Tungguuu...

#letsride
#everyonecanride