Wednesday 17 January 2018

Ride Selatan @ 16-17/12/2017 (PART 3 - FINAL)

HARI KEDUA..

Kalau ikut plan asal, jam 7.00 pagi nak check out & meneruskan perjalanan, tapi sebab malam tadi hampir jam 2.00 pagi baru masing-masing tidur, maka kami pun bergerak lewat sedikit. Walaupun begitu, sebelum jam 8.00 pagi semua dah on the bike, memang terbaikk!!

0745hrs @ Taman Sentosa, JB
Mulakan perjalanan dengan bacaan doa
Agenda pertama dah tentulah sarapan dulu. Aku memang takde plan sebab nak adhoc je kat mana-mana, tapi try juga la 'google' pagi tu kot ada tempat yang menarik berdekatan dengan homestay. Ya memang ada - Pondok Santapan Larkin yang terletak tak jauh dari homestay. Dengar kata ada pelbagai menu menarik seperti Laksa Johor & lain-lain yang sememangnya menjadi kunjungan orang ramai.

Tapi takde rezeki kami, kedai ditutup la pula, cuti panjang gamaknya. Kebetulan ada pula kedai makan bertentangan dengan Pondok Santapan Larkin ni, hantam sajalah

Pondok Santapan Larkin - takde rezeki gamaknya
Ok ada backup takyah nak pusing ke lain dah
Ok juga makan di sini, ada pelbagai menu dengan harga yang berpatutan. Kelainan di sini ada soto kuetiaw & sup cendawan, haa memang tak pernah jumpa menu sarapan macam ni.


Badan dah ok, eksen plak dapat nasi dagang

Soto kueteow

Sup cendawan

Haa makan kenyang-kenyang ye, petang nanti baru makan lagi haha..
Kalau hari pertama kami dah ride lebih kurang 490 km, hari kedua lebih lagi sebab dari Johor nak merentas ke Pahang pula. Dah selesai sarapan, dari Larkin kami bergerak menuju ke Bandar Penawar menggunakan Senai-Desaru Expressway (SDE). Semasa aku & Joe guna laluan ni tahun lepas tak nampak apa-apa sebab dah malam hihi.. Kali ni dapatlah menikmati pemandangan di sini. 

0940hrs @ Senai-Desaru Expressway, Johor


Jambatan yang merentasi Sg.Johor



Jam 10.00 pagi, kami tiba di Petronas Desaru. Teringat kisah tahun lepas dengan Joe meredah jalan felda dalam kegelapan menuju ke sini, sudahnya kawasan pantai ditutup kerana kerja-kerja pembangunan. Hihi kali ni kita singgah isi minyak je lah.

1000hrs @ Petronas Desaru, Johor
"Nak masuk ke Joe??"
"Tak nak, aku dah merajuk.."


Selesai isi minyak & berehat seketika, kami meneruskan perjalanan. Dari Desaru, kami menuju ke Mersing melalui kawasan Felda Mawai & Jemaluang. Perjalanan sejauh 124 km ni meliputi kawasan tanaman kelapa sawit & kawasan hutan, yang sememangnya menjanjikan pemandangan hijau bumi ciptaan Ilahi.

1115hrs @ Felda Mawai, Johor
Berhenti berehat sat sambil tunggu kawan cabut tebuan ke jaket hihi..
Melewati kawasan Hutan Lipur Panti di Jalan Jemaluang (jalan utama Kota Tinggi-Mersing), kelihatan beberapa binaan seakan kubu perang berwana putih di tepi jalan. Ini adalah merupakan Pill Box ataupun kubu lama yang dibina oleh pihak British bagi mengekang kemaraan tentera Jepun ke Singapura semasa Perang Dunia Kedua.

Sebenarnya terdapat banyak kubu lama sebegini di Malaysia & setiap satunya punya fungsi yang tersendiri yang berbeza. Ada yang terletak di tepi sungai, laut & sebagainya. 5 buah pill box di Jalan Jemaluang ini dibahagi kepada dua bilik, mempunyai ruang tinjau (kubah di atas) & ruang menembak dengan jeriji besi (lubang di bawah).

Sayang sekali bahan sejarah sebegini dibiarkan begitu sahaja. Aku pun cuma dapat tahu apakah fungsi binaan ini melalui 'google' hahaha.. Kesian kan..
1120hrs @ Jln.Jemaluang-Kota Tinggi, Johor
Pill box/kubu lama peninggalan British

Ruang menembak

Bekas pintu masuk yang telah 'dimatikan'


Meneruskan perjalanan menuju ke Mersing, hujan mulai turun. Apa lagi masing-masing kalut la berhenti untuk 'bertukar'. Kalau ikut firasat aku, hujan acah-acah je ni sebab langit di kawasan depan agak cerah. Lagipun aku malas nak bertukar sebenarnya hihi.. Lantak kome la..

Bertukar!! Bertukar!!

Pakai jaket sudah la hihi..
Memang betul jangkaan aku, sekejap je hujan turun lepas tu dah mula panas terik. Hihi nasiblah yang pakai baju hujan ye.. Jam 12.30 tengahari kami pun tiba di Mersing. Singgah sebentar di Shell untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan.

1230hrs @ Shell Mersing, Johor
Dari stesen minyak Shell, kami membelok ke Pantai Air Papan, Mersing. Kalau ikut plan, nak makan udang galah di Rompin nanti, jadi kita lapik perut dulu la ye, lagipun cuaca panas terik ni memang kena basahkan tekak dulu. Dengan keadaan cuaca sebegini macam kurang sesuai je nak duduk di kedai, lalu kami pun singgah membeli apa yang patut & melepak di tepi pantai.

Di sini terdapat deretan kedai yang menjual keropok & hasil laut, sama seperti di Terengganu. Keropok lekor & satar juga ada dijual, tapi tak boleh lawan 'made in Pantai Timur' la hehe..

Deretan kedai menjual keropok & hasil laut

Piknik jap

Pantai Air Papan, Mersing, Johor
Fuhh memang syok layan keropok lekor, satar, jemput-jemput & disulami dengan teh ais sambil menghirup udara segar di tepi pantai. Dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, kalau tak kerana jauh lagi perjalanan, mau kami baring bawah pokok ni haha.. Cuma agak hairan mengapa air laut ketika itu agak keruh.

Berhadapan dengan Pulau Setindan, kawasan Mersing ni lebih terkenal dengan aktiviti memancing, selain merupakan lokasi utama untuk menaiki bot ke Pulau Tioman.  Selain dari itu, terdapat juga perkhidmatan bot ke Pulau Rawa, Pulau Aur & lain-lain pulau lagi di sini.




Dari Pantai Air Papan, Mersing, kami meneruskan perjalanan menuju ke Rompin, Pahang. Alhamdulillah cuaca agak baik walaupun panas terik. Bila dah meredah cuaca yang panas, mulalah mata jadi berat haha.. Cadangan asal nak menghala terus ke kedai makan udang galah ditukar menuju ke masjid dahulu. Boleh la solat & berehat sekejap kan, dapatlah melelapkan mata seketika.

1430hrs @ Masjid Tengku Mahkota Rompin, Pahang

Shell Rompin, Pahang
Selesai mengerjakan solat & berehat, kami pun menuju ke stesen minyak Shell untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan. Hampir jam 4.00 petang, kami pun tiba di kedai Udang Galah Mak Ngah Rompin. Apa lagi jom makan..

1600hrs @ Udang Galah Mak Ngah, Rompin, Pahang
"Sekian laporan untuk TV13.5"

Dengan pantas capai nasi & telur goreng, tak toleh kawan-kawan dah haha..
Dua kedai yang 'glamour' di sini adalah Mak Ngah & Azizah. Perut dah lapar tak kira dah mana satu janji ada tempat duduk, terus oder. Joe sepantas kilat mencapai pinggan & nasi, tak pandang kiri kanan dah hahaha.. Memandangkan dah waktu petang, lauk pauk dah tak banyak. Walaupun begitu ada menu 'ala-carte' untuk menikmati udang galah ni. Memang agak rambang mata & kecur air liur bila baca menu, so buatlah pesanan ikut kemampuan perut & poket ye..

Udang galah masak lemak
Udang galah sambal - recomended!!

Nasi goreng udang galah

Mi udang galah
Harga bergantung kepada saiz udang, lagi besar saiz udang, lagi besar la harganya haha.. Walaupun dah petang, masih ramai lagi pelanggan di kedai ni. Yelah, orang kata kalau ke Rompin tak lengkap kalau tak pekena udang galah.

Jam pun dah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Memandangkan dah lewat petang, kami membatalkan hasrat ke Temerloh sebab tak nak ambil risiko melintasi Tasik Bera di waktu senja. Bak kata Zul, memang 'mengesot' macam Ju-On la kat Karak nanti kalau nak pergi juga hahaha..

Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke lokasi kegemaran aku - Mardi Muadzam Shah, ada juga yang menggelarkan sebagai 'New Zealand Malaysia'. Pemandangan seakan di 'oversea' ni memang takkan aku 'miss' kalau melalui kawasan ni. Kelihatan ramai juga yang berhenti mengambil gambar di sini pada waktu ini, termasuklah satu rombongan pengantin.

1745hrs @ Mardi Muadzam Shah, Pahang




Nak tau lebih lanjut mengenai lokasi ini, boleh belek post aku yang terdahulu. Jam 6 petang, kami bergerak ke Petronas Muadzam Shah untuk memenuhkan semula tangki sebab stesen minyak seterusnya agak jauh.

Dari Muadzam Shah, kami menuju ke Kuala Pilah melalui kawasan Felda Keratong & Jempol. Perjalanan agak mencabar memandangkan boleh dikatakan tiada lampu jalan sepanjang perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang ke Batu Kikir, N9. Ditambah pula dengan keadaan jalanraya yang agak sempit, kurang rata & kenderaan besar yang kebanyakannya dipandu agak laju, memberikan risiko kepada penunggang motosikal seperti kami.

Walaupun begitu, kerjasama dari semua rakan-rakan memang terbaik. Bila memotong, masing-masing akan menunggu pula orang di belakang, hinggalah kesemuanya ada barulah bergerak laju semula. Itupun bukanlah laju mana, sekitar 80-90kmh sahaja. Tips yang sentiasa aku pegang bila ride berkumpulan - orang di hadapan janganlah terlalu laju & sentiasalah lihat side mirror supaya takde yang tertinggal. Yang belakang pula jangan leka nak layan perasaan pula sampai tertinggal jauh dari kumpulan hihi.. Dah nama pun bergerak dalam kumpulan kan, kerjasama memang perkara utama la.

2000hrs @ Batu Kikir, N9

BHP Batu Kikir, N9

Jam 8.00 malam, kami tiba di kawasan Batu Kikir, N9. Fuhh lega rasanya bila dah melepasi kawasan gelap. Kami berhenti untuk mengisi minyak & melepaskan lelah seketika. Dek karana keadaan jalanraya yang kurang cantik & beralun, monoshock Ust Lut dah tak dapat berkhidmat dengan baik. Memang salah satu masalah jentera Y15ZR ni adalah monoshock yang kurang mantap, lalu aku meminta Ust Lut berada di depan.

Dari Batu Kikir, kami melintasi kawasan Kuala Pilah & meneruskan perjalanan ke Senawang. Cadangan asal nak berhenti solat & makan malam di R&R Seremban, tapi tiba-tiba teringin nak makan sate tulang haha.. Lalu kami pun singgah di Satay Tulang Senawang.  Ini adalah antara lokasi kegemaran para bikers di hujung minggu selain Kopi Manshur Senawang & Roti John Paroi. Jika kebanyakan satay menggunakan daging ayam, lembu, kambing & lain-lain, satay yang berasal dari Jelebu ini menggunakan tulang ayam. Memang tak putus pelanggan yang datang untuk menikmati menu unik ini.

2100hrs @ Satay Tulang Senawang, N9
Bukan main geram ko makan tulang ye Joe..

Dah abis satay, bantai megi goreng pulak!!
Selesai makan malam, kami bergerak ke Shell Senawang yang terletak berhampiran dengan Tol Senawang untuk mengisi minyak & solat. Alhamdulillah sebelum jam 12 tengah malam, masing-masing selamat tiba di rumah.

Walau ride masih di dalam Malaysia tapi tetap bermakna buat kami kerana dapat mengeratkan silaturrahim sesama sendiri, disamping menikmati keindahan alam ciptaanNya. Apa pun kerjasama dari kalian memang terbaik bagi menjayakan ride ni. InshaAllah lepas ni kami cuba meredah kawasan lain pula. Ke mana?? Tunggu..

-matthafidz-


Thursday 11 January 2018

Ride Selatan 16-17/12/2017 (PART 2)

Dah selesai minum, kami pun menghala ke homestay yang terletak berhampiran dengan Plaza Sentosa, JB. Cadangan asal nak menetap di homestay abang Aziz PG di Pasir Gudang tapi 'fully booked' katanya, maklumlah musim cuti sekolah kan.

1900hrs @ Taman Sentosa, JB
Homestay ni aku dapat dari website AIRBNB. Memang banyak homestay di kawasan JB tapi ini yang terbaik kerana lokasinya tak jauh dari pusat bandaraya, jadi mudah untuk kami bergerak malam nanti & mudah juga untuk memulakan perjalanan esok pagi memandangkan kami akan menghala ke Desaru.

Dengan bayaran RM40/orang, memang sangat puas hati dengan servis yang disediakan. Pintu pagar pula menggunakan 'password', hanya masukkan password yang diberikan oleh tuan rumah & ambil kunci di kotak yang disediakan. Ada pula pondok polis di hadapan rumah ni, hehe memang tak risau la soal keselamatan.

Nak buka pagar kena guna password, bukan nyanyi tau


Rumah 2 tingkat ni mempunyai 4 bilik tidur dengan 6 katil queen saiz (12 orang) & berkelengkapan penuh. Wifi, astro, aircond di setiap bilik & ruang tamu, water heater & sebagainya lah. Pendek kata memang selesa berada di rumah yang serba serbinya ada, kemas & sangat bersih.



Dah berehat lebih kurang, mandi, solat & bersiap, kami pun keluar untuk makan malam. Cadangan makan di Selera Senibong Seafood disambut baik oleh semua memandangkan tempatnya yang agak selesa & meriah.

2045hrs @ Senibong Seafood
Lebih kurang 10 minit dari homestay, kami pun sampai di lokasi makan malam. Dah sampai, kita 'window shopping' dulu la, cari harga terbaik untuk makan bersama-sama hehe.. 





Terdapat banyak kedai makan di sini, jadi kita tengoklah satu persatu. Dari kerang, lala, sotong, udang galah, ketam hinggalah ke lobster, semuanya ada di sini. Harga nak kata murah tak, mahal pun tak, masih berpatutan la. Ada juga kedai yang menyediakan pakej 'buffet'. Kalau dilihat dari menunya memang agak berbaloi dengan harga, tapi memandangkan masing-masing 'tank' tak sebesar mana, kami pilih pakej untuk 8 orang.

Nasi, 2 ekor siakap, lala, udang, tomyam, sayur beserta air RM22/orang, ok lah kan

Pemandangan Singapore dari Senibong

Pelanggan tak putus masuk & keluar

Selesai makan malam, Cikgu Shah selaku anak Johor lead kami ronda sekitar Bandaraya Johor Baru. Kebetulan pula malam minggu, memang agak meriah dengan orang ramai di merata tempat. 

Gambar ihsan C-Pit


Dari Istana Bukit Serene, Stadium JDT, Dataran Bandaraya & MBJB, kami berhenti di Pasar Karat JB. Walaupun dah hampir tengah malam & esoknya nak ride lagi, tapi dah alang-alang sampai rugi pula tak singgah. Cuci mata sikit tengok apa yang menarik di sini.. Joe yang tak berapa ok dek kerana sedikit masalah urat, hanya menunggu di luar besama isteri & Cikgu Shah.

2330hrs @ Pasar Karat JB


15 minit berjalan kaki, misi mencari sesuatu yang lain dari yang lain gagal. Pasar karat yang dikatakan satu ketika dahulu terkenal dengan tempat jualan barang-barang lama & terpakai, dah jadi 'bazar uptown' - menjual pakaian, aksesori & seumpamanya. Hmm ingatkan boleh la dapat benda-benda 'rare' sikit. Takpelah sekurang-kurangnya dapat melihat kelainan di tempat orang.

Walaupun begitu, agak menarik kerana lokasinya yang terletak di lorong kedai-kedai (sama seperti Jonker Street di Melaka) & kebanyakan kedai terdiri dari bangunan lama yang masih mengekalkan rekabentuknya (gagal ambil gambar sebab lens gagal bekerjasama dengan cahaya lampu huhu). Dengan adanya 'live' band, buskers & banyak tempat makan, tak hairan lah ramai yang berkunjung ke sini, bersantai-santai di malam minggu.

Dah selesai berjalan, lepak la sekejap menikmati suasana malam minggu di JB. Cikgu Shah, Joe & isterinya setia menanti di tempat makan di luar pasar karat.

"Haa lepak dulu kita minum-minum, oder je apapun aku belanja," kata Cikgu Shah

Fuhh nasib baik perut masih kenyang makan seafood tadi, kalau tak kepala gajah aku oder haha.. tapi ada juga yang sempat selesaikan sebiji burger. Memang handal!! Jam 12.45 malam kami pun bergerak pulang ke homestay..

Sembang santai versi JB

Ehh dia makan lagi 


BERSAMBUNG LAGI...