Wednesday 10 January 2018

Ride Selatan @ 16-17/12/2017 (PART 1)

Terlebih dahulu minta maaf kepada kawan-kawan yang mungkin menunggu aku update blog. Hihihi.. almaklumlah kalau dah pegang stereng memang payah la nak pegang keyboard laptop nih.

Tamat sudah tahun 2017, masih belum terlambat kan nak ucap selamat datang Tahun 2018. Tahun baru, azam baru, semoga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Apa yang penting, semoga iman & amal ibadat kita bertambah bagus. Tahun bertambah, umur pun bertambah, maka makin hampir lah kita dengan mati kan..

Sebagai penutup tahun 2017, sempat la set satu ride bersama rakan-rakan #kapcaitourer. Plan asal seramai 10 orang, bertambah jadi 12 orang, namun hanya 8 orang (6 kuda besi) sahaja yang dapat turut serta. Paling menarik, ada 2 couple ride kali ni & seorang ahli baru (kawan ex-SMKASL). Hafiz aka C-Pit, teringin sangat katanya nak ride jauh sikit sebab hari-hari asyik ride pergi balik keje je haha.. 

So ke mana pula kali ni? Kalau awal tahun dulu kami dah ke utara, kali ni kami ke selatan pula.

Macam biasa 2D1N weekend ride

Target kami kali ni;
1. Kari Kambing 40 Hari (Yong Peng)
2. Penghujung Benua Asia (Tg.Piai)
3. Johor Bahru
4. Laluan felda & pedalaman dari Desaru ke Mersing (Felda Mawai/Jemaluang)
5. Pantai Air Papan (Mersing)
6. Udang Galah (Rompin)
7. Ladang Tenusu Mardi (Muadzam Shah)
8. Tasik Bera
9. Ikan Patin (Temerloh)
10. Ujian mental & fizikal hahaha..

Sebenarnya tak jauh beza dengan route Ride Selatan 2016 aku & Joe dulu, cuma kali ni kami akan terus menghala ke selatan dahulu. 

Setelah mencapai kata sepakat pilih tarikh, booking homestay, susun itinerary (aku memang akan plan sebaik mungkin untuk memudahkan perjalanan & gunakan masa sebaik mungkin) & sebagainya, maka pada pagi 16/12/2017 kami pun memulakan kembara.. 

0645hrs @ Caltex Bandar Puteri Klang, Selangor

Couple rider pertama - Joe & Mala
Macam biasa, aku bertemu Joe di Caltex Bandar Puteri, Klang. Kali ni Joe ditemani isterinya, Mala yang juga rakan sekolah kami. Nak training nanti nak cross border berdua katanya. Dari Klang, kami pun bergerak & berhenti pula di R&R Dengkil untuk berjumpa dengan yang lain-lain. Kelihatan sorang demi sorang sampai. Ngam.. Aku memang suka ride dengan geng ni sebab semua boleh menepati janji & masa..

0730hrs @ R&R Dengkil, Selangor
Ust Lutfi (kiri) & Zul (tengah). Lapik perut dulu sebab nak makan jauh lagi ni hihi..

C-Pit (kiri) bersama LC135 yang digasak ulang-alik kerja hari-hari, apa nak risau kita santai-santai je
Inilah barisan kita yang ikhlas berjuang..



Couple rider kedua - Ust Lutfi & wife
Macam biasa sebelum bergerak, Ust Lutfi menjadi 'kepala' bacaan doa untuk memohon keselamatan &  dipermudahkan perjalanan kami ni.

Dari R&R Dengkil, kami berhenti pula di R&R Seremban untuk bertemu dengan Cikgu Shah yang datang dari Bangi. Ok dah cukup ahli, kami kembali meneruskan perjalanan..

0815hrs @ R&R Seremban,Negeri Sembilan
Cikgu Shah, wakil tunggal Honda ride kali ni hehe..
Cuaca agak baik pagi tu & sememangnya memudahkan perjalanan kami. Dengan kelajuan sekitar 110-120 kmh di atas PLUS Highway menuju ke selatan, kami berhenti pula di R&R Ayer Keroh & R&R Pagoh untuk mengisi minyak (maklumlah tangki kecik hehe), sebelum keluar di exit Yong Peng, Johor.

0900hrs @ R&R Ayer Keroh,Melaka

1000hrs @ R&R Pagoh,Johor

2 ekor kuda biru 'bertayar' perlumbaan, motor 2 angka tu memang king leper hahaha..
Bila dah keluar dari highway, fuhh lega rasanya. Mana taknya, jalan lurus dengan matahari cerah memang meletihkan badan. Lagipun kami memang lebih suka lalu jalan biasa, boleh bersantai-santai layan pemandangan.

1040hrs @ Jalan Yong Peng-Ayer Hitam,Johor

Melintasi Highway PLUS
Dengan kelajuan sekitar 80-90 kmh di jalan biasa, akhirnya kami pun tiba ke destinasi pertama - Kari Kambing 40 Hari yang terletak di Yong Peng, Johor. Perut pun dah berkeroncong, apa lagi kita kasi serang laa..

1050hrs @ Kari Kambing 40 Hari,Johor
Tu dia belum tengahari pun punya panjang beratur

Beriyani kambing, memang mantap!!


Menurut pekerja di sini, waktu operasi kedai ini dari jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang. Waktu pagi ada sarapan seperti roti canai & sebagainya, nasi beriyani pula mula dihidang bermula jam 8.00 pagi. So kalau nak datang boleh la plan masa yang sesuai sebab kalau tiba waktu tengahari memang padat & sendat tempat ni. Selain dari masakan yang sedap, nama yang unik & lokasi yang strategik juga menjadi peranan penting melonjakkan jualan kedai makan ni.

Sebenarnya rumah kakak ipar aku terletak lebih kurang 500 meter je dari kedai ni. Memang aku tak pernah singgah pun di kedai ni, yelah kalau dah ke rumah adik beradik ni dah tentu la makanan dah siap sedia hahaha.. Namun aku nampak perubahan kedai ni dari sebuah warung kecil, kini 'semakin membesar' & menjadi persinggahan wajib kepada sesiapa yang melalui kawasan ini. Menurut biras aku, nama 40 hari diberi sempena pemilik kedai yang merupakan seorang ahli tabligh, yang mana akan keluar selama 40 hari ketika berdakwah.

So, nak buka kedai makan, letak menu/nama yang unik sikit & pastikan lokasi berdekatan dengan highway, senang para bikers nak datang haha.. Sama juga macam Nasi Bamboo Sg.Klah, Kopi Manshur Senawang & Satay Tulang Senawang, betul kan??

Perut sudah kenyang, hati ada senang..
Selesai makan, kami meneruskan perjalanan menuju ke Tg.Piai, melalui pekan Ayer Hitam & Simpang Renggam. Macam biasa, berhenti seketika di stesen minyak untuk top up minyak masing-masing. Walaupun begitu, masing-masing tetap bawa minyak 'spare' untuk kegunaan di waktu kecemasan.

1215hrs @ Petronas Spg.Renggam,Johor

Perghh layan sungguh makan eskrem tembikai brader kita ni


Selesai mengisi minyak, kami meneruskan perjalanan & berhenti seketika apabila ada ahli kumpulan yang tiba-tiba ghaib. Joe & C-Pit telah berjaya meloloskan diri untuk berhenti membeli nenas & air kelapa hahaha.. 

Muka eksen dapat nenas Johor haha..
Langit kelihatan agak mendung di hadapan kami. Harap-harap sempatlah sampai sebelum hujan, tapi aturanNya tak mampu kita halang. Hujan turun dengan lebatnya semasa melintasi pekan Kukup. Hihihi sikit je lagi nak sampai, memang malas la nk sarung 'racing suit', berteduh la sebentar kat bus stop.

1340hrs @ Pekan Kukup,Johor
Cikgu Shah sentiasa bersedia untuk di'candid' haha..
Selang 20 minit, hujan pun reda. Kami pun kembali menggolekkan tayar. Belum pun sampai 10 minit memulas throttle, hujan turun semula. Hihihi terus kami membelok ke masjid berdekatan, memang suruh solat dulu gamaknya..

1415hrs @ Masjid As-Syakirin,Kg.Sg.Kuali,Johor




Cadangan asal nak solat di masjid sebelum simpang masuk ke Tg.Piai, tapi nampaknya rezeki kami bersolat di masjid yang kecil tapi indah ini.

Selesai sahaja solat, langit terus terang benderang. Alhamdulillah moh kita ke penghujung selatan Benua Asia..




Sebelum tiba di pintu masuk ke Tg.Piai, kami berhenti seketika di batu 0 km. Posing jap sebagai bahan bukti masing-masing dah sampai di sini.



Gambar ihsan Joe
Alhamdulillah untuk kali ke-2 aku & Joe sampai ke Taman Negara Johor, Tg.Piai ni dengan kuda besi yang sama. Alang-alang dah sampai, mesti kena berjalan sampai glob penanda Penghujung Selatan Benua Asia, sambil temankan rakan-rakan yang baru pertama kali sampai.

1445hrs @ Taman Negara Johor,Tg.Piai

Cuaca panas terik, memang sesuai untuk menapak ke dalam hihi..
Sedang bersiap-siap nak ke dalam, terperasan sebiji Yamaha MT-09 Tracer yang sama kami jumpa di Kari Kambing 40 Hari sebelum ni. Sembang punya sembang dengan empunya kuda besi, rupa-rupanya dari Shah Alam juga, ride santai-santai dengan wife katanya. Memang orang Shah Alam suka datang sini ye, dulu pun sama juga haha..

Ada yang mengidam MT-09 Tracer ni tu yang bole perasan

Malas nak menapak, posing kat batu je cukuplah

Jaga-jaga, penghuni tetap kawasan ni memang cekap meragut makanan & minuman haha..

Tiket masuk RM5.30 je

Peti pos di penghujung selatan Benua Asia, takde dah peti pos lain lepas ni


Hutan paya bakau


Rombongan cik kiah

Taman Negara Johor ini terdiri daripada 526 hektar kawasan bakau & 400 hektar mudflats (tanah berlumpur). Di sini terdapat hampir 20 spesis bakau sebenar & di sini juga terletaknya titik penghujung selatan Benua Asia. Walaupun jarak ke glob lebih kurang 500 meter pintu masuk kawasan ini, namun berjalan melalui kawasan hutan paya bakau sambil menghirup udara segar memang tak memenatkan.



Panas ye bang..
Cuaca panas memang agak terik ketika ini. Hampir sejam bersiar-siar di kawasan ni, kami berehat sebentar sebelum kembali menggolekkan tayar. Ambil nafas dulu la..


Masing-masing hantar laporan ke..
Dari Tg.Piai, kami meneruskan perjalanan menuju ke homestay di Johor Bahru. Langit yang kelihatan kembali gelap, akhirnya melimpahkan hujan jua. Bak kata Joe, kalau ride dengan aku memang tak sah kalau tak hujan haha..

1630hrs @ Kg.Jakon,Johor
Meredah jalan kampung, shortcut katanya
Hujan agak lebat menyebabkan kami lebih berhati-hati. Dalam berhati-hati pun ramai yang terjun dalam 'kolam' tengah jalan, takde makna dah pakai kasut waterproof hahaha.. Jam 5 petang, kami tiba di Pekan Nenas, Johor. Timbul pula idea dari Ust Lut, "Jom cari durian, mana tau ada murah-murah ke.."

Sebenarnya sebelum sampai Petronas tu ada satu gerai durian tapi tak terfikir pula. Ada pula penduduk tempatan yang beritahu depan sikit tu ada tempat orang jual durian bawa naik lori. Hohh apa lagi moh ler kita..

1700hrs @ Petronas Pekan Nenas,Johor
Memang betul ada harga RM5-RM10/kg, tapi berlubang-lubang la pulak. Kalau yang cantik harga RM20/kg ke atas. Dari Pekan Nenas hingga lah menghampiri kawasan Gelang Patah, rata-rata harga tetap sama. Wahh durian kampung tu, harga dah sama kat Shah Alam.

Menghampiri kawasan Kg.Pulai kelihatan banyak dusun durian di kiri kanan jalan, tapi walaupun gerai tepi dusun, sama juga harganya. Standard harga nampaknya. Hmm takpe lah..

Tunggu peninjau riki harga jap

Ust Lut selaku skuad peninjau durian
Kecewa tak dapat durian dengan harga yang murah, kami meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Tak sampai 5 minit berada di Lebuhraya Pontian, Zul selaku lastman bagitau Cikgu Shah hilang. Ahh sudah takkan orang Johor boleh sesat pulak hehe..

1745hrs @ Lebuhraya Pontian

Anak-anak murid menanti cikgu dengan penuh sabar
Hampir 10 minit kami menunggu, akhirnya muncul kelibat Cikgu Shah. Rupa-rupanya dia terlepas simpang ke highway & menyangka kami melalui jalan biasa. Hehe minta maaf la cikgu ye..

Menghampiri Bandaraya Johor Bahru, hujan mula berhenti. Lebih kurang jam 6.10 petang, kami selamat tiba di hadapan Istana Serene, JB. Cadangan asal nak meronda town JB sebelum check in, tapi memandangkan dah meredah hujan lebat tadi, masing-masing agak keletihan, badan pun dah naik berlengas wehh.. Ok kita tukar plan ronda waktu malam nanti.

Kami pun terus menuju ke homestay yang terletak di Taman Sentosa, JB.

1810hrs @ Istana Bukit Serene,JB


Cari air panas sat sebelum check in

BERSAMBUNG...



1 comment:

  1. Wynn Hotel Las Vegas and Casino - MapyRO
    The Wynn Las Vegas and Encore resorts feature more than 2,500 rooms and suites, 김천 출장샵 making it the 충청북도 출장안마 largest 천안 출장안마 hotel 구미 출장마사지 on the Las Vegas Strip to have a full-service spa 부산광역 출장마사지 and

    ReplyDelete