Friday 31 March 2017

Ride Lembah Bujang @ 24-25/03/2017 (DAY 1)

Dalam ramai-ramai kawan, ada sorang kawan aku yang paling giler. Kenal dari zaman sekolah rendah tapi kitorang rapat bila aku join kerja di tempatnya pada tahun 2004. Sejak dari tu, macam-macam juga aktiviti kitorang berjaya lakukan hahaha.. Pejal ni kaki ride juga, ada sebijik Versys 650. Merata juga dah berjalan kuda hitamnya tu, cuma kami tak pernah ride bersama sebab masa tak mengizinkan.

Malangnya sahabat aku sorang ni ditimpa kemalangan jalanraya 5 bulan lepas sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Puaslah dok rumah MC panjang hehe.. Setelah beberapa sesi rawatan, alhamdulillah dah beransur pulih & akan kembali bekerja seperti biasa. Bila dah kaki ride dok terperap lama kat rumah, banyak la yang dalam akal fikirannya. Selang seminggu sebelum kembali bekerja, datang ideanya nak ride & mengajak aku sekali ke Lembah Bujang, Kedah. Bukan dengan Versys tapi naik EX5 yang selalu dia ride ke tempat kerja.

Pejal bersama kuda itamnya
Hahaha menarik & mencabar idea tu. Ok kita uji mental masing-masing, EX5 vs Y15. EX5 yang berusia 9 tahun sememangnya standard gaban, dah tentu tak laju mana. Diskus punya diskus, kami akan lebihkan jalan biasa berbanding highway, lebih selamat & lebih santai.

DAY 1: Klang > Sg.Besar > Sitiawan > Pantai Remis > Kuala Sepetang > Batu Feringghi
Pagi 24/03/2017, kami pun bergerak. Cadangan asal nak gerak jam 6.30 pagi tertunda ke jam 8.00 pagi atas masalah teknikal hahaha.. Tak kisah la janji ride. Pejal dari Banting manakala aku dari Klang. Selesai mengisi minyak di Petron Bkt.Tinggi Klang, kami pun memulakan perjalanan melalui Jalan Kapar menuju ke Sg.Besar.

0800hrs @ Petron Bkt.Tinggi Klang, Selangor

Betul-betul motor touring nih hehe 
Keadaan EX5 lejen yang standard ditambah pula dengan topbox 43 liter, ditransfer dari Versys nya memang melimitkan kelajuan haha.. Top speed EX5 sekitar 100-110kmh bersamaan 80-90kmh meter Y15. Dah kata ride santai kan, kita santai-santai je la. Keadaan cuaca pagi tu agak redup, diiringi dengan gerimis. Mula-mula gerimis, tapi dah masuk kawasan Sekinchan lebat la pulak. Memandangkan Pejal terlupa bawa baju hujan, kami pun berhenti berteduh sambil minum sebentar di warung tepi jalan.

0920hrs @ Sekinchan, Selangor - hujan lebat kita minum dulu
Bila hujan dah mula reda, kami pun kembali menunggang kuda masing-masing. Dari Sekinchan, kami berhenti pula di Shell Sg.Besar untuk mengisi minyak.


1030hrs @ Shell Sg.Besar, Selangor
Memang cantik cuaca ketika itu, nak kata panas tak, nak kata mendung pun tak. Hmm harap-harap tak hujan lagi la kan hehe.. Selesai mengisi minyak, kami meneruskan perjalanan menuju ke Sitiawan pula. Memang dah jadi kebiasaan aku untuk mencari checkpoint di stesen minyak setiap 100 km, selain mengisi minyak, boleh la beli air ke, buang air ke sambil berehat. Badan pun taklah la rasa letih.

Melepasi sempadan Selangor-Perak, kami melalui kawasan Bagan Datoh & persimpangan Hutan Melintang, kemudian membelok ke Route 5, jalan menuju ke Sitiawan/Lumut. Perjalanan terhenti seketika sebelum memasuki kawasan Lekir.  Pemandangan ladang kelapa di tepi jalanraya ni memang aku dah 'aim' sebelum ni semasa menghantar penumpang ke Lumut dahulu. Berhenti sat la..


1130hrs @ Jln.Teluk Intan-Lumut, Perak

Santai abis punya


Jam 12.00 tengahari kami tiba di Shell Sitiawan. Ada pula yang menjual air & buah potong di depan ni, kita lepak berehat sambil pekena air tebu & buah dulu la. Si Pejal pun nak pasang sports cam dia kat motor dia, tapi tak sempat nak buat apa hujan dah mula turun. Ahh sudah apa lagi cabutt..

1200hrs @ Shell Sitiawan, Perak

Tambah vitamin C katanya!!
Mujur cuma rintik-rintik je, kami pun berhenti semula di tepi jalan sebelum persimpangan Pelabuhan Lumut. Checkpoint seterusnya, Changkat Jering.

Berhenti sat pasang sports cam

Owh kena buang airbag ke camne ni hahaha..

Nak masuk Majalah 3 katanya
Tapi kalau dah namanya kuasa Allah, takde siapa yang mampu menghalang. Tak sampai 5 minit sambung perjalanan hujan pun turun dengan lebatnya. Lebat, lebat & semakin lebat sampai tak nampak jalan. Takde pula bus stop kat tepi jalan, terpaksa la redah hingga jumpa deretan kedai, hahaha lencun sudah!!

Bukan sikit punya lebat nih

Ambik ko nak sangat adventure touring kan hahaha..
Lama juga kami 'bertapa' di deretan kedai ni. Bukan sekadar hujan lebat, siap petir kuat lagi. Oleh kerana Pejal takde baju hujan, aku pun malas nak 'bertukar'. Kita main hujan la hari ni. Nak tunggu hujan berhenti memang takde petanda nampaknya. Bila dah reda sikit, kami pun meneruskan perjalanan. Baru kat Perak ni dah lencun hihihi..

Lebih kurang 10 minit ride, hujan pun berhenti. Alhamdulillah.. Bukan tak nak redah hujan lebat cuma jarak penglihatan terhad, keselamatan pun kurang terjamin. Jam 1.30 petang, kami tiba di pekan Pantai Remis. Kami berhenti seketika di bank menguruskan hal masing-masing.

1330hrs @ Pantai Remis, Perak

Kegelapan yang telah kami berjaya tinggalkan hehe..
Dari Pantai Remis hingga menghampiri kawasan Terong pun hujan juga, tapi nasib baik tak lebat, tak sempat kering la baju ceritanya haha.. Jam 2.30 petang kami tiba di kawasan Changkat Jering. Singgah sebentar di stesen minyak BHP untuk mengisi minyak. Perut pun dah mula berkeroncong. Diskus punya diskus, kami bersetuju untuk makan di Kuala Sepetang, Taiping.

1430hrs @ Changkat Jering, Perak


Menuju ke Kuala Sepetang, ternampak pula sebuah bangunan putih yang tersergam indah di hujung jalan. Owh inilah dia Muzium Matang atau juga dikenali sebagai Kota Ngah Ibrahim. Jom kita singgah sat tinjau apa yang ada di sini..

1450hrs @ Muzium Matang, Perak
Kota Ngah Ibrahim ini telah diwartakan sebagai warisan sejarah negara. Siapakah Ngah Ibrahim ini? Ngah Ibrahim atau nama penuhnya Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar, adalah seorang pembesar Perak yang masyhur. Beliau juga merupakan anak kepada Long Jaafar, orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah pada tahun 1840 di kawasan Larut, Matang & Selama.



Kota ini merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Larut yang pada ketika itu di bawah kuasa Ngah Ibrahim. Ianya dibina di Matang pada tahun 1854, mempunyai tembok batu sepanjang 131 meter & 110 meter lebar, berkeluasan 0.8 hektar. Di kota ini dibina sebuah rumah & setor simpanan bijih timah. Semasa pentadbiran Ngah Ibrahim berlakunya Perang Larut, yang mana telah memaksa campur tangan British & seterusnya termeterailah Perjanjian Pangkor.



Runtuhan tembok akibat dilanggar oleh kapal terbang tentera Jepun




Perigi Ngah Ibrahim

Hasil dari Perjanjian Pangkor, British telah menghantar seorang penolong residen, Kapten Speedy untuk membantu Ngah Ibrahim dalam hal ehwal pentadbiran Larut. Malangnya Kapten Speedy lebih memihak kepada pihak British hingga menghalang Ngah Ibrahim dalam urusan memungut cukai, yang mana akhirnya mencetuskan pembunuhan JWW Birch, residen Perak pada ketika itu, atas kerjasama dengan pemimpin Melayu lain.
Setor & rumah Ngah Ibrahim


Tugu Peringatan Tentera Jepun
Datuk Maharajalela & Datuk Sagor telah didapati bersalah ke atas pembunuhan JWW Birch & dihukum gantung gantung di hadapan kota ini pada tahun 1877. Manakala Ngah Ibrahim telah dibuang negeri kerana tiada bukti kukuh untuk mensabitkannya dalam kes pembunuhan itu. Ngah Ibrahim telah meninggal dunia di Singapura pada tahun 1895 & jenazahnya dibawa pulang untuk disemadikan semula di Kota Ngah Ibrahim ini pada tahun 2006.


Makam Ngah Ibrahim


Menara kawalan
 Kota ini juga telah dijadikan sebagai..
(1913-1941) Maktab Perguruan Melayu Matang & Sekolah Melayu
(1941-1945) Markas Tentera Jepun
(1946-1984) Sekolah Melayu

Selepas tahun 1985, kota ini telah diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara & kekal sebagai warisan sejarah hingga ke hari ini.


(Kiri) Kota Ngah Ibrahim
(Kanan) Rumah Kapten Speedy
Hampir setengah jam berada di sekitar kawasan kota ini, perut makin menyanyi-nyanyi. Hmm terpaksa la lupakan hasrat nak masuk ke dalam muzium. Ada rezeki & masa diwaktu lain nanti boleh 'repeat'.  Dari Kota Ngah Ibrahim, kami menuju ke Kuala Sepetang pula.


Lebih kurang 10 minit, kami tiba di kedai makan yang termasyhur di sini, apa lagi kalau bukan Mee Udang Mak Jah. Boleh tahan ramai pengunjung di sini, siap ada abang Rela lagi jaga trafik di depan kedai, sama keadaan sibuknya seperti di Cendol Bakar Kuala Selangor. Jom kita makan dulu..

1530hrs @ Mee Udang Mak Jah, Kuala Sepetang, Perak


Selain kedai makan Mak Jah ini, terdapat juga kedai-kedai bersebelahan yang menjual pelbagai jenis makanan. Hasil laut seperti ikan kering, ikan pekasam, sotong kering & lain-lain juga ada di sini.



Jangan lupa hulurkan sedikit bantuan untuk artis lama ini

Mi udang biasa, kalau special udang saiz besar-besar katanya


Aku order mi udang manakala Pejal order mi goreng udang. First time makan mi udang Mak Jah ni ok lah rasanya, not bad kata omputeh. Nak kata mantap sangat tak jugalah sebab aku pernah rasa mi udang yang lagi sedap dari ni hehe.. Tapi itulah dia kuasa promosi & viral kan. Apapun alhamdulillah rezeki dapat makan di sini.

Perut dah kenyang hati pun senang. Jam 4.30 petang, kami bergerak meninggalkan Mak Jah bersama udang-udangnya, menuju ke mana lagi kalau bukan ke Pulau Pinang. Sebenarnya kalau ikut plan asal hari pertama kami akan terus ke Lembah Bujang, berpatah balik & bermalam di Pulau Pinang, tapi oleh kerana dah bergerak pun lewat, ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang kurang baik, kami ubah plan untuk ke Lembah Bujang keesokan harinya.


Ikut perkiraan waktu GMaps, untuk ke Pulau Pinang melalui highway lebih kurang 1 jam 30 minit, manakala jika lalu jalan biasa 'extra' hampir sejam!! Ok kami ubah haluan melalui highway pula, boleh tiba awal di hotel & berehat secukupnya nanti. 

Belum pun sempat melepasi Plaza Tol Taiping, hujan pun turun dengan lebatnya. Hahaha mandi hujan lagi!! Redah punya redah makin lama makin lebat, lalu kami pun berhenti seketika di bawah jambatan. Sejuk tak payah cakap la memang gigil abis, tapi apa yang penting berhenti untuk keselamatan, risau pengguna highway yang lain kurang peka dengan kenderaan kecil seperti kami ni dalam keadaan pandangan yang terhad dek hujan lebat. 

Kikiki baju tak sempat kering dah lencun lagi
Hujan dah reda, kami pun menunggang kembali kuda besi masing-masing. Menghampiri sempadan negeri Pulau Pinang, hujan pun berhenti. Alhamdulillah lega rasanya. Kami terus menuju ke Butterworth untuk menaiki feri ke Georgetown, Pulau Pinang. 

Panaskan badan sat, sejuk wehh

Jam 6.00 petang, kami selamat tiba di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth. Nampaknya ini adalah kali kedua kuda merah aku naik feri ke Pulau Pinang selepas Ride Utara 2017 yang lalu hehe.. Ianya juga adalah satu-satunya cara untuk ke pulau memandangkan kami tak bawa kad Touch n Go mahupun Smartag untuk melalui Jambatan Pulau Pinang.

1800hrs @ Butterworth, Pulau Pinang - bukan main hepi rider EX5 ni dah sampai Penang



Jam 6.45 petang, kami tiba di pulau, singgah sebentar mengisi minyak di Caltex Tg.Bungah & terus menuju ke Batu Feringghi. Seperti biasa, aku dah booking tempat penginapan sebelum ride. So kalau terlewat, hotel dah ada tinggal nak check in je, tak perlu nak ronda-ronda mencari hotel pulak. Seperkara lagi jika terjadi apa-apa masalah & tak boleh sampai pun takde masalah sebab aku akan pilih hotel yang tak mengenakan sebarang deposit di www.booking.com


1845hrs @ Georgetown, Pulau Pinang

1930hrs @ EQ Feringghi Hotel, Batu Feringgi, Pulau Pinang
Jam 7.30 malam kami tiba di hotel. Lokasi EQ Feringghi Hotel ni memang agak menarik kerana terletak berdekatan dengan tempat makan & tak jauh dari kawasan tumpuan di Batu Feringgi ini. Apa yang paling penting, motor boleh parking di hadapan lobi hehe..




Dah selesai berehat seketika, mandi & solat, kami turun semula untuk makan malam. Badan pun rasa agak letih dek kerana banyak kali meredah hujan siang tadi. Pejal sebenarnya baru balik bercuti dengan familinya di Batu Feringghi ni tak sampai seminggu pun haha.. So dia tau la kat mana nak makan. Memang terbaik, jalan kaki tak sampai 5 minit pun dari hotel ke tempat makan..


Zarie Laksa House, macam-macam ada..
Dari laksa penang, satay, ala carte, western hinggalah ke pasembor semua pun ada. Fuhh memang banyak pilihan kedai makan anak mami ni. Nasi goreng daging, nasi goreng sotong bersama pasembor special menjadi pilihan kami. Boleh tahan sedap pasembornya..  

Pasembor special, udang, sotong, ayam, sosej, semua pun ada la



Memang tak putus keluar masuk pengunjung di kedai ni. Masakan pun boleh tahan sedap, memang tak rugi lah makan di sini. Dah setel makan, kami pun pulang ke hotel untuk berehat. Hajat hati nak ronda kawasan Batu Feringghi ni memang dah lama dilupakan haha.. Hari ni dah ride 400km dengan separuh perjalanannya meredah hujan, esok belum tentu lagi macam mana. Hmm lepak hotel je lah. Berehat sambil bersembang macam-macam cerita, aku pun tak sedar bila masa aku pejam mata hihihi..



Bersambung..

-matthafidz-