Saturday 12 August 2017

Ride to Nature @ 06/08/2017 (Solo Ride)

Syukur Alhamdulillah masih diberi peluang bernafas hingga ke hari ni. Lama tak ber'blogging' kan hehehe.. Sebenarnya lama juga bercuti ride dek kerana eksiden semasa bulan puasa yang lalu. Tak teruk mana pun, jatuh sendiri je. Orang kata adatlah jatuh motor memang sakit, tapi lagi sakit nak tunggu luka tu sembuh, mana taknya betul-betul kat kepala lutut hehe.. Tu nanti aku cerita kemudian la ye..

Apapun syukur Allah beri kesembuhan & kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Bila dah lega dari kecederaan, kepala mula la fikir nak ride ke mana. Hehehe apa taknya dok ulang alik naik motor hantar & ambil budak sekolah je. Si Pejal pun sibuk mengajak aku ride hari Sabtu lepas, tapi wife aku ada kelas pula. Pejal pula cuti memang tak menentu, tiba-tiba kata shipment masuk berkampung la dia kat warehouse tu, so aku pun tak nak paksa dia.

Dipendekkan cerita, pada Ahad lepas (06/08/2017), aku pun 'melancarkan' acara solo ride hehe.. Memang sengaja tak ajak sesiapa sebab nak ride santai-santai menghilangkan sedikit rasa fobia sebab eksiden hari tu. Selain tu, misi solo ride kali ni nak cuba menjelajah 'route' yang tak pernah aku lalui seumur hidup, dah tentunya bukan highway.

Jam 7.20 pagi, aku pun memulakan perjalanan. Sebenarnya tak tau nak ke mana lagi, tapi ada beberapa bayangan route dalam kepala aku masa tu. Dari rumah, aku melintasi jejambat di Bandar Botanic untuk menuju ke Bandar Klang. Allahuakbar matahari tengah naik pula, benti la sat..

0720hrs @ Klang
Macam biasa reset trip meter dulu tengok berapa jauh jalan hari ni

Subhanallah.. Antara kejadian alam yg sentiasa memukau mataku
Sambil menyusuri Bandar Klang, kepala dok mencongak-congak ke mana hala tuju pagi tu. 
Antaranya;
a) Klang > Sg.Tengi > Tapah > Gopeng > Teluk Intan > Sg.Besar > Klang
b) Klang > Sg.Tengi > Tapah > Ringlet > Sg.Koyan > Bentong > Klang
c) Klang > Sg.Tengi > KKB > Gohtong > Janda Baik > Klang

Kenapa Sg.Tengi? Selain dari laluan di sebelah pantai barat Selangor (Kuala Selangor - Sabak Bernam), Sg.Tengi juga adalah pilihan laluan bukan highway untuk ke utara. Ataupun boleh melalui Rawang, cuma bezanya kalau ke Rawang akan berpatah semula ke belakang. Ahh usah gusar dong, hala je ke Sg.Tengi dulu.

Dari Klang, aku menuju ke Bestari Jaya (dulu dikenali sebagai Batang Berjuntai) melalui Meru & Puncak Alam. Hmm tak siap lagi rupanya jalan dari Pekan Meru ke Puncak Alam ni, lama juga projek ni dah berjalan sebenarnya. Hasilnya ada la beberapa kawasan yang masih lagi dalam keadaan 'offroad' hahaha..

0750hrs @ Meru, Klang
Ini jalan bila mau siap daa..
Menghampiri UITM Puncak Alam, perjalanan terhenti dek kerana acara berbasikal yang menggunakan jalan yang sama. Lama juga semua trafik terkandas di sini. Hmm bila dah lebih 15 minit berhenti, rugi rasanya masa terbuang. Berapa lama mau tunggu da.. Lalu aku bergerak ke tepi jalan & perlahan-lahan bergerak. Ok cun line clear takde sapa tahan hahaha.. Ala-ala pengiring basikal, aku memulas throttle sesantai mungkin mengiringi mereka. Agak jalan clear pecut la sikit. Bak kata orang lama, pandai-padai la nak hidup hihi..

"Aduh ingatkan balik keje awal bole la tido awal, sangkut pulak kat sini" keluh brader beruniform hijau tu

Berhenti jap sambil memerhati geng basikal, pandai tak aku berlakon hahaha..
Tak pasti ke mana hala tuju geng basikal ni, tapi kami sama-sama membelok menghala Kuala Selangor. Disebabkan mereka tak membelok di persimpangan Highway Latar, aku lah yang kena berkorban naik highway untuk mengelak dari ditahan lagi nanti. Terpaksa juga la naik highway sekejap.

Keluar dari Highway Latar, aku menghala ke Ijok tapi membelok masuk di Jalan Saga, jalan pintas untuk sampai ke Bestari Jaya. So tak perlu la lalu pekan Ijok & Bukit Badong. Keadaan jalanraya yang lengang dengan pemandangan pokok tebu & kelapa sawit di kiri kanan jalan memang menenangkan. Cuma perlu berhati-hati apabila menghampiri persimpangan Jalan Rawang kerana terdapat kawasan jalanraya yang rosak agak teruk & berlubang.

Jalan Saga - menghubungkan Jalan Rawang (B27) dengan Jalan Kuala Selangor (54)


Jam 8.50 pagi, aku pun tiba di pekan Bestari Jaya. Kawasan pekan ni tak lah sebesar mana, orang kata 'pekan koboi' je. Perut pun dah berbunyi, lalu aku berhenti di sebuah kedai makan untuk bersarapan. Hmm macam-macam ada, servis pantas, kuah roti canainya pun sedap. Selain dari tu, ramai juga yang oder lontong, mesti sedap kan. Sambil makan, kelihatan beberapa kumpulan berbasikal melintasi pekan ni. Menurut brader yang tebar roti canai ni, memang dah jadi kebiasaan geng basikal berkayuh di kawasan ni. Mujur tak kena tahan lagi hehe..

0850hrs @ Pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor
Nescafe tarik + roti telur = alhamdulillah kenyang!!

Pelanggan datang tapau tak putus, memang jadi tumpuan kedai ni 

Sana basikal, sini pun basikal haha..


Restoran Sinar Cahaya, boleh singgah pekena apa yang patut kalau lalu kawasan ni

Sambil makan, aku dok mencongak-congak route & akhirnya membuat keputusan untuk ride guna route (c). (a) & (b) aku dah pernah lalu cuma bezanya sebelum lalu highway terus dari Klang, so keutamaan memang kepada route yang tak pernah dilalui. Selain itu, jumlah jarak pergi-balik pun sekitar 300km je, boleh la sampai rumah awal sikit kan.

Selesai makan, aku menghala ke Caltex untuk mengisi minyak yang sememangnya tak diisi lagi, hanya guna baki dalam tangki sahaja. Sempatlah bertegur sapa dengan 4 orang rider BMW GS1200 berbangsa cina, dari KL nak ke Sekinchan, jalan-jalan cari makan katanya. Dah berbual lebih kurang, aku pun minta diri.

0915hrs @ Caltex Bestari Jaya, Kuala Selangor
Dari Bestari Jaya, aku menghala ke Felda Sg.Tengi. Melepasi UNISEL, ternampak pula kawasan paya/lombong di tepi jalan. Berhenti jap buat tinjauan hehe..


Perjalanan diteruskan melalui jalanraya yang sememangnya lengang. Nak baring atas jalan pun boleh hahaha.. Sesekali kelihatan signboard 'AWAS KAWASAN HIDUPAN LIAR MELINTAS'. Gulpp.. takde apa kot kat kawasan ni. Pemandangan bukit bukau yang menghijau di kiri kanan disamping keadaan jalanraya yang cantik, walaupun tak sebesar mana memang membuat ride lebih enjoy & santai..


Ni bukan batu 0 km ye hehe..


Lebih kurang jam 9.45 pagi, aku memasuki kawasan Felda Sg.Tengi. Kawasan tumpuan taklah sebesar mana tapi agak meriah kerana masing-masing sibuk ke kedai membeli barang keperluan & makan di kedai. Tak kurang juga yang bermotosikal menuju ke ladang. Dari jauh kelihatan menara masjid yang tersergam indah. Jom singgah sat..

Masjid Noor Hidayah, Felda Sg.Tengi, Hulu Selangor
Selain dari menikmati pemandangan alam semulajadi, senibina masjid juga menjadi daya tarikan kepada aku. Hebatnya kuasa Allah kerana mengurniakan kebijaksanaan kepada manusia untuk menghasilkan senibina yang indah. 

Masjid yang tersergam indah ni baru sahaja dirasmikan oleh Sultan Selangor pada bulan Jun yang lalu. Owh memang baru betul ni, kalau motor ada bau kedai lagi hihi.. Alhamdulillah beruntung penduduk di sini dapat kemudahan yang selesa ini. Dah singgah rumah Allah, ambil la peluang buat solat Dhuha sekali kan.






Selesai meninjau-ninjau di rumah Allah ni, aku pun meneruskan perjalanan. Syok juga layan pemandangan bukit bukau berteres & ladang-ladang sawit di kawasan felda ni. Dengan keluasan sekitar 4,400 ekar, selain kelapa sawit, terdapat juga ladang buah-buahan yang dibangunkan oleh Felda Agriculture Sdn.Bhd. di sini.




Pemandangan di negara sendiri pun tak kurang indahnya kan
Dari Felda Sg.Tengi, aku memasuki kawasan Felda Soeharto pula. Mungkin kerana laluan utama terletak di kawasan kediaman, kawasan felda ini nampak lebih kemas & teratur. Maka kuranglah pemandangan ladang & bukit bukau di sini.

Dengan keluasan sekitar 2,900 ekar, nama asalnya adalah Felda Sg.Dusun, tetapi telah ditukar bersempena dengan nama bekas presiden Indonesia, Soeharto selepas lawatan beliau pada tahun 1977 bagi menyelesaikan kemelut Malaysia-Indonesia pada ketika itu.  

1030hrs @ Felda Soeharto, Hulu Selangor



Matahari yang semakin meninggi membuatkan tekak mulai kering. Aku pun berhenti di sebuah mini market untuk mendapatkan sebotol air mineral. Fuhh lega rasanya..

Meninggalkan Felda Soeharto, aku tiba di persimpangan Jalan Sg.Panjang (B44). Jalan ni pernah aku lalui bersama rakan-rakan sekolah satu ketika dahulu. Destinasi utama ketika itu adalah Air Trjun Sg.Bil di Behrang, Perak. Zaman dah berubah, kalau dulu agak seram nak lalu kerana memang melalui kawasan hutan, sekarang dah banyak kawasan yang dibangunkan.


Dari persimpangan tadi, aku melalui kawasan Felda Gedangsa pula. Wahh banyak felda aku masuk hahaha.. Sebenarnya hanya melalui kawasan sempadan Felda Gedangsa je & aku pun dah terlepas pintu gerbangnya, tapi rasa rugi pula takde kenangan kat situ kan. Apa lagi kasi u-turn la..

1045hrs @ Felda Gedangsa, Hulu Selangor
Kalau tadi dah lalu 3 kawasan felda, sekarang lalu kawasan estet pula. Pun begitu masih mengekalkan pemandangan hijau yang sentiasa menyejukkan mata.


Perjalanan terhenti apabila ternampak sesuatu di sebelah kiri jalan. Dari jauh kelihatan stesen minyak Shell di Hentian Sebelah Tg.Malim. Hahaha baru aku tau inilah dia kawasan yang selalu aku perhatikan tiap kali berhenti di hentian tu. Memang mengasyikkan pun lihat dari jauh. Hari ni giliran aku pula kat sini hihi..

Nampak ke tak hujung sana tu

Kasi zoom sikit la haha..
[THROWBACK] Gambar yang aku snap semasa Ride Ganja 2016 dulu




Jambatan yang melintasi Highway PLUS, berdekatan R&R Ulu Bernam

1145hrs @ Persimpangan Tg.Malim (Perak) - Kerling (Selangor)
Dari persimpangan Tg.Malim, aku menuju pula ke Kuala Kubu Bharu (KKB). Kalau ikutkan, pekan KKB ni dah banyak kali sampai semasa urusan kerja, so hari ni aku nak ke kawasan Empangan Sg.Selangor sahaja, yang berada di laluan ke Fraser Hill, Pahang.

Sampai di kawasan empangan, cuaca memang agak panas, pheww tapi cuaca yang panas ada kelebihannya. Dah tentu dapat pemandangan awan yang sangat menarik kan.

Subhanallah..
Alhamdulillah..
Allahuakbar..

1140hrs @ Empangan Sg.Selangor, KKB


Ada pula orang jual aiskrim tengah-tengah panas ni, apa lagi kasi sejuk tekak sat. Brader ni meniaga di kawasan ni setiap hari Sabtu & Ahad sebab kalau hari biasa memang takde siapa nak ke sini. Selain pemandangan empangan sebagai daya tarikan di sini, macam yang aku katakan tadi ini adalah laluan utama ke Fraser Hill. Juga terdapat Sg.Chiling, yang menjadi tempat mandi manda & santuari orang ramai.

Tabah macha ni meniaga aiskrim tengah panas
Dapat aiskrim, aku pun mencari pokok untuk berteduh. Lepak kat tempat tinggi syok sikit dapat melihat gelagat manusia di sini hehe..

Layan aiskrim sambil meninjau kawasan sekeliling & menunggu kot ada yang 'meleper' kat depan tu

Ada la 3 biji 'kuda liar' buat latihan meleper hari ni hehe..

Geng Harley Davidson
Plan seterusnya nak ke Janda Baik, Pahang pula. Teringat ada sorang sahabat limo tinggal di Batang Kali, terus aku call. Haa alhamdulillah ada pun, boleh la singgah jap. Dari empangan, aku bergerak menuju ke Batang Kali melalui kawasan Ampang Pecah. Syok juga lalu sini kerana ada sungai menyusuri di tepi jalan, hampir di sepanjang perjalanan. Syok punya pasal sampai lupa nak berhenti snap gambar hehe..

1215hrs @ Shell Batang Kali
Isi minyak untuk kali ke-2 maklumlah kapcai tangki kecik
Lebih kurang jam 12.30 tengahari, aku pun tiba di rumah bang Deris. Dah macam 'ghostbuster' berbungkus muka tengah mesin rumput hihihi.. Bang Deris ni bukan sekadar rakan seperjuangan masa aku jadi supir limo dulu, dia pun pernah join ride sebelum ni, semasa Ride Utara 2017

1230hrs @ Kg.Padang,Batang Kali
[THROWBACK] Bang Deris (berbaju biru) semasa di Gunung Jerai tempoh hari
Lama tak jumpa macam-macam cerita la keluar. Dari hal kerja, plan nak menambah baik income sampailah kisah durian. Niat asal nak singgah sekejap bertanya khabar je & nak layan sup tulang kat Janda Baik, tapi diakhiri dengan sepinggan nasi pulak. Ni la namanya langkah kanan. Rezeki jangan ditolak, nasi pun jangan ditolak nanti tumpah hahaha.. Alhamdulillah semoga murah rezeki tuan rumah meraikan musafir lalu di angin lalu ni.


Pheww memang mantap
Apapun kawasan rumah bang Deris ni memang best, kawasan kampung siap ada dusun buah-buahan & sungai. Cuma tahun ni buah tak berapa nak menjadi katanya, kalau tak memang jadi port saudara maranya pekena buah-buahan sambil mandi sungai.

Perut dah kenyang, aku pun minta diri untuk teruskan perjalanan..

Laluan utama Jalan Hulu Yam (B57)



Dari Batang Kali, aku bergerak menuju ke Janda Baik, Pahang melalui jalan utama ke Gohtong Jaya. Ianya juga adalah antara 'litar' kegemaran kaki-kaki leper di hari minggu. Ini kali kedua aku melalui jalan ni. Tak jauh dari persimpangan di Hulu Yam Baru, ternampak pula sebuah jambatan berwarna biru yang agak unik.




Sayang sekali jambatan milik JPS ni terbiar begitu sahaja. Kalau dimanfaatkan kawasan sekitar tu kan bagus, mana tau boleh menjana pendapatan ke kan.

Perjalanan menuju ke Gohtong ni memang agak mencabar kerana keadaan jalanraya yang mendaki & berselekoh di sepanjang jalan. Walau bagaimanapun taklah sesukar mendaki dari Highway Karak. 



Jam 2.15 petang aku tiba di kawasan Stesen Kereta Kabel Gohtong. Nampaknya stesen ni sudah tak beroperasi & berpindah ke Awana, bersesuaian dengan Genting Premium Outlet (GPO) yang baru dibuka beberapa bulan lalu. Dah dibiarkan kosong, nampak seram pula bangunan ni hihi.. 

Suasana agak dingin walaupun cuaca agak panas ketika itu. Dari Gohtong, aku menyusuri jalan turun dari Genting Highlands menuju Genting Sempah untuk ke Janda Baik pula. Keadaan trafik agak sibuk, maklumlah hari minggu maka ramailah yang mengambil peluang untuk mengunjungi bukit sejuk ni.

1415hrs @ Stesen Kereta Kabel Gohtong
Dah terbiar kosong dengan kereta-kereta kabel masih bergantungan


Ramai pula yang buat autograph kat sini hihi..

Take 5 untuk layan view di sini
Laluan dari Genting Sempah ke Janda Baik agak basah ketika itu, mungkin kerana sedikit hujan di pagi hari. Tiba di kawasan Janda Baik, kelihatan ramai pengunjung yang keluar masuk dari kawasan kampung ini. Kawasan yang menjadi rumah persinggahan kebanyakan artis & usahawan ini agak 'familiar' bagi aku satu ketika dahulu semasa menjadi ejen hartanah. Banyak la kawasan-kawasan yang aku redah demi mencari sekeping tanah untuk prospek, sampai brader kedai makan kat dalam ni pun dah kenal hehe.. tapi tak berniaga pula dia hari ni. Segala ceruk semak, bukit bukau abis aku redah dengan motor LC aku dulu tu.

Ianya juga merupakan kawasan hijau dengan sungai mengalir sebagai tempat perkelahan yang paling hampir dengan Kuala Lumpur. Maka ramai lah yang mengambil peluang untuk berehat & bersantai di sini pada hujung minggu. Banyak juga chalet disediakan untuk pengunjung bermalam di sini. Dah ronda kampung, aku berhenti seketika di Masjid Sultan Abu Bakar, Janda Baik untuk berehat & mengerjakan solat jama'.

Kg.Janda Baik - kawasan yang masih mengekalkan kawasan hijaunya

1500hrs @ Masjid Sultan Abu Bakar, Janda Baik, Pahang


Keadaan masjid masih sama seperti ketika aku datag dahulu, cuma ada sedikit penambahan ruang solat di bahagian luar. Selesai solat, sambil duduk di beranda, datang seorang budak lelaki memakai serban tersengih-sengih di sebelah aku. Rupa-rupanya nak ajak berbual tapi malu-malu. Saiful, berumur 13 tahun merupakan pelajar di sebuah sekolah tahfiz di kawasan kampung ni. Kebetulan hari cuti, mak ayahnya datang melawat & berada di masjid juga ketika tu.

Sembang punya sembang, aku minta diri untuk meneruskan perjalanan. Sebelum keluar dari pintu pagar masjid, ada pula vending machine air, singgah la beli 100 Plus jap. Tengah teguk punya teguk, datang Saiful membawa sepinggan bihun goreng & kek.

"Mak bagi, makanlah"

Allahuakbar murah rezeki hari ni, tapi aku terpaksa tolak secara baik kerana masih berasa kenyang penangan nasi di rumah bang Deris tadi. Kalau bawa kereta ke memang aku ambil juga, tapi camne gaya nak bawa pinggan kertas ni dengan motor hehe..




Dari masjid, aku singgah di sebuah tapak riadah berdekatan. Ada la beberapa orang yang sedang menyejukkan badan di sungai. Di samping itu juga terdapat chalet, taman permainan kanak-kanak & ATV di sini. Nak layan ATV sorang-sorang janggal pula rasanya kan, takpe la lepak tepi sungai jap, melayan deruan air di bawah pokok buluh.

Hampir 15 minit di sini, aku pun kembali menunggang kuda merahku. Jam pun dah hampir pukul 4 petang, masa yang sesuai untuk bergerak pulang. Dari Janda Baik, aku berpatah semula ke Genting Sempah untuk melalui Jalan Gombak, jalan lama yang menjadi laluan utama sebelum adanya Highway Karak.



Pertama kali melalui jalan lama yang dihidangkan dengan selekoh yang tak putus-putus, agak 'saspen' juga. Mana tak nya, hanya aku sorang tiada sebarang kenderaan di kedua-dua arah. Perlahan-lahan aku menyusuri semua selekoh selama 10 minit barulah berjumpa dengan kenderaan lain. Pemandangan jalanraya dari lereng bukit ni agak menarik tapi tak berani pula nak berhenti snap gambar hehe..

Dari kawasan hutan, aku melewati kawasan orang asli di Batu 12 Gombak. Kelihatan Muzium Orang Asli dan kawasan sekitar sudah mengalami perubahan. Kelihatan beberapa peniaga menjual petai & sedikit buah-buahan di sepanjang jalan. Sebenarnya rumah arwah nenek aku juga di Gombak ni, Batu 7 3/4 yang juga dikenali sebagai Kg.Sg.Chinchin. Ada 4 keluarga mak aku di sini. Masa kecil dulu pernah la beberapa kali ke kawasan sungai di Batu 12 ni bersama pakcik aku untuk memancing & bersiar-siar. Zaman tu kalau yakde kenderaan sendiri kena la naik bas Len Seng no.174 kalau nak ke sini, terus sampai ke Jalan Lebuh Ampang di KL, hehe kenangan lama tu.

Lebih kurang jam 4.45 petang, aku tiba di kawasan Batu 8, di mana kawasan yang dah membangun sejak kewujudan Univesiti Islam Antarabangsa (UIA) & beberapa institusi pengajian di sini. Zaman belajar di UIA dulu memang di sini lah port makan, banyak kedai yang menyediakan makanan sedap & murah.

1645hrs @ Batu 8, Jalan Gombak
Dari Gombak, aku bergerak ke Jalan Pahang, nak singgah sebentar melawat makcik yang telah menjalani pembedahan di KPJ Tawakkal 4 hari lepas. Sebelum naik ke hospital, singgah pekena teh o suam beserta capati dulu di kedai mamak berhampiran hehe..

1700hrs @ Jalan Pahang, KL
Alhamdulillah, makcik Leha yang ditemani pakcik Emi dah beransur pulih & boleh pulang ke rumah keesokannya harinya. Jam 6.15 petang, aku minta diri untuk pulang sebab target nak sampai rumah sebelum Maghrib. Berada di tingkat 11, KPJ Tawakkal menyediakan ruang untuk bergambar berlatarbelakangkan bandaraya KL. Memang sangat menarik pemandangan di sini.


Nak selpie tapi camera kurang cun pula hehe..


Dari KPJ Tawakkal, aku menggunakan Highway DUKE & NKVE untuk pulang ke Klang. Alhamdulillah jam 7.15 petang selamat tiba di rumah. Satu perjalanan yang simple tapi menarik & menyegarkan, dapat menikmati keindahan alam sambil mengeratkan silaturrahim sesama manusia. Bukan jarak perjalanan jadi ukuran, tapi bagi aku apa yang penting adalah apa yang aku dapat sepanjang perjalanan tu. 

Apapun terima kasih kepada rakan-rakan Adventure Touring Malaysia (ATM) yang sentiasa memberi ilham, terutama kepada rakan-rakan solo ride. Bila dah bermusafir tu, gunakanlah sebaik mungkin masa & peluang yang ada, laju-laju nak pergi mana la hahaha..

1915hrs @ Klang
Dengan jarak perjalanan secara santai sejauh 328.8 km, kos pun tak banyak mana pun..
- sarapan RM3.70
- minyak RM18
- aiskrim RM1.50
- minum petang RM4.50
- PENGALAMAN RM PRICELESS!!