Friday 23 September 2016

Ride Pantai Timur @ 04/09/2016 (DAY 2)

Alhamdulillah jam 6 pagi aku dah terjaga. Selesai solat Subuh, kami pun bersiap-siap tapi secara santai, sebab cadangnya nak bergerak pada jam 8.30 pagi. Sambil bersiap, sambil berbincang perjalanan kami pada hari itu. Kalau hari sebelumnya kami dah menikmati pemandangan kampung, sungai, tasik & gunung ganang, hari kedua pula kami akan layan pemandangan persisiran Laut Cina Selatan pula.



8.30am @ Dynasty Inn, Wakaf Che Yeh, Kelantan - lebih kurang RM45 sorang ok la kan
Pagi ni Joe bercadang untuk bersarapan bersama rakannya di Bachok, Kelantan. Tapi ada sorang lagi rakannya yang lain mengajak bersarapan bersama juga. Wahh 2 kali sarapan la kita nampkanya haha.. Check out sudah, barang-barang dah siap, enjin motor pun dah warm up, jom kita ronda Bandar Kota Bharu sekejap sebelum bersarapan. Tepat 8.30 pagi tayar pun mula bergolek..









Haa pagi ni baru la nampak segalanya sebab masa sampai malam tadi dah gelap hehe.. Kami meronda lebih kurang je sebab Joe pun agak kebingungan kerana banyak perubahan yang berlaku di Bandar Kota Bharu ni. Cari Pasar Siti Khadijah tapi tak jumpa hahaha.. Nak harapkan aku lagi lah tak tau. Ride kali ni memang sengaja aku tak guna sebarang GPS/Waze, cuma guna untuk check ETA je (estimated time arrive). Kita redah je, tak cukup signboard, kita tanya la orang.

Negeri Kelantan ni antara tempat yang aku suka, walaupun hari bekerja tapi taklah sesibuk tempat kami. Waktu malam pula tak banyak aktiviti sosial, so dah tentulah tenang. Seperkara lagi, semua signboard perniagaan mempunyai tulisan jawi. Cuma tak pernah rasa lagi hari jumaat di sini, yang mana banyak tazkirah diadakan di merata tempat. Semoga usaha kerajaan negeri ini dapat mengekalkan warisan & diberkatiNya.

Selesai meronda, kami pun bersarapan bersama Mat, sama la pulak nama ko hehe.. Mat ni dulu kerja di kedai cat kereta bersebelahan dengan bengkel kereta Joe, aku pun kenal tapi kenal macam tu je la. Yelah kalau aku datang melepak kat bengkel Joe dulu dah tentu dia tengah sibuk menggosok kereta. Sambil pekena roti canai, bersembang mengenai kerjanya sekarang. Masih dalam bidang mengecat kereta tapi apa yang memeranjatkan kami kos untuk mengecat sebuah kereta di Kelantan boleh mencecah 2-3 kali ganda harga berbanding di tempat kami, fuhh..!!

9.15am @ Kota Bharu, Kelantan - sarapan pertama hehe..
Selesai sarapan, kami bergerak menuju ke Bachok untuk berjumpa dengan sorang lagi rakan Joe, Azwan. Pusing punya pusing, jam 10.20 pagi sampai juga kami ke rumahnya yang terletak berdekatan dengan Pantai Irama, disambut mesra oleh ayahnya. Kami pun bersarapan bersama-sama, sarapan kali ke-2 hihi.. Kali ni pekena nasi berlauk itik, daging, ayam kampung & berbagai lagi.


Suasana jalanraya yang lapang & tenang
10.30am @ Bachok, Kelantan - 2 kali sarapan kenyang sampai petang kita ni Joe haha..
Gambar kredit untuk Azwan. Perut dah kenyang kami jalan dulu la ye
Selesai sarapan & bersembang lebih kurang, kami pun bergerak menuju ke Negeri Terengganu, melalui jalan persisir pantai. Dalam perjalanan, jam 11.30 pagi, kami singgah di kawasan Tok Bali untuk mengisi minyak. Kemudian menyinggah sebentar di bengkel kereta sorang rakan Joe, nama timangannya Chembong, yang pernah bekerja dengan Joe satu ketika dahulu. Alhamdulillah dah ada bengkel sendiri, semoga bertambah maju & dipermudahkan segala urusan perniagaan.


Posing jap bersama jambatan Tok Bali, Kelantan
Bengkel ni terletak di tepi jalan utama, bersebelahan kedai tayar, kalau memerlukan bantuan boleh la datang sini
Dari Tok Bali, Kelantan, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Terengganu melalui Kuala Besut. Ehh dekat je rupanya. Kuala Besut merupakan tempat tumpuan untuk pelancong kerana di sini lah terletaknya jeti untuk ke Pulau Perhentian. 

Cuaca yang agak panas membataskan aktiviti 'stop & snap' aku pada hari itu hehe.. Maka kami hanya menumpang lalu sahaja di kawasan Kuala Besut. Kami meneruskan perjalanan melalui jalan pantai. Melalui jalan pantai yang agak lengang, membolehkan kami memecut sekali sekala, tapi kena berhati-hati kerana angin dari pantai bertiup agak kuat di kawasan ini. Jam 1.00 petang, kami tiba di kawasan Pantai Penarik, Setiu, Terengganu. Berehat seketika untuk menikmati keindahan pantai.. 


Jalan pantai yang lengang!! 
1.00pm @ Pantai Penarik, Setiu, Terengganu

Tukar tayar offroad la camni  
Subhanallah indahnya ciptaan Tuhan. Air laut membiru, disertakan dengan tiupan angin memang mendamaikan. Kalau semalam waktu yang sama berada di tepi tasik, kali ni berada di tepi pantai pula. Jam 1.45 petang, kami bergerak meneruskan perjalanan..



IKLAN - Singgah pekena air tebu, coconut shake & kepok lekor
Dari Pantai Penarik, kami singgah sebentar untuk membasahkan tekak di kawasan Merang. Di sini, sudah terdapat kedai-kedai menjual keropok & hasil laut. Pemandangan tepi pantai di waktu ini memang ohsem, payah nak digambarkan dengan kata-kata. Kemudian kami meneruskan perjalanan & alhamdulillah jam 2.30 petang kami tiba di Bandar Kuala Terengganu. Jom kita ambil angin di Pantai Batu Burok pula..

2.30pm @ Jalan Tengku Mizan, Kuala Terengganu





Posing sket kat Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu
Pheww.. dah tengok laut jangan lupa daratan ye hahaha.. Kali terakhir aku berada di sini sekitar tahun 2011 rasanya bersama famili. Masa tu anak pun baru 2 orang hehe.. Tak banyak perubahan di sini cuma kelihatan banyak gerai jualan di kawasan dataran. Lepak punya lepak, dah hampir jam 3 petang. Jomlah Joe kita cari tempat solat.

Keadaan trafik di Bandar Kuala Terengganu agak sibuk. Perlahan-lahan kami melalui semua persimpangan. Nak solat di Masjid Kristal nanti jauh pula nak berjalan kaki, so kita cari masjid yang kurang tumpuan pengunjung. Bukannya apa, dengan keadaan cuaca yang panas terik, badan memang terasa letih, sekurang-kurangnya dapat baring meluruskan badan sekejap pun jadilah.

Akhirnya jam 3.15 petang, kami berhenti di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang. Bandar Marang ini pula terkenal kerana di sini terletaknya jeti untuk ke Pulau Kapas, memang tak jauh pun dari masjid ini.

3.15pm @ Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang, Terengganu

Solat jamak & berehat seketika di sini
Sebenarnya, terdapat banyak masjid di sepanjang perjalanan dari Pantai Batu Burok tadi, Masjid Tengku Tengah Zaharah, Masjid Sultan Ismail, Masjid Al-Furqan & Masjid Haji Ahmad Ibrahim. tapi entah kenapa kami tertarik untuk berhenti di sini. Walau bagaimanapun, setiap masjid tadi mempunyai keunikan rekabentuk tersendiri. So kalau anda melalui laluan yang sama, jangan risau jika terlepas masjid, di hadapan pun masih ada banyak lagi hehe..

Jam 4.00 petang, kami meneruskan perjuangan hehe.. Perjuangan menikmati keindahan alam. Dari Bandar Marang, kelihatan lebih banyak kedai menjual satar, keropok & pelbagai hasil laut. Kalau kaki shopping ni mau rambang mata nak pilih kedai mana satu. Di sini juga kelihatan pemandangan pokok-pokok kelapa di pantai, berlatarbelakangkan air laut yang membiru di sepanjang perjalanan. Allahuakbar indahnya la ye. Dengan perlahan kami memulas throttle kerana sibuk, sibuk melihat pemandangan & keadaan sekitar. Kami berhenti seketika untuk mengisi minyak di Caltex Kg. Kelulut. Selesai isi minyak, aku pun cakap dengan Joe..

"Ehh tadi ko kata nak cari air kelapa kan? Depan tadi tu aku nampak ada air kelapa, celup tepung, satar & macam-macam la, camne ekk??" kataku memancing Joe
"Kikikiki jommm" balas Joe

Hahaha kami pun berpatah semula ke kawasan Pantai Semarak, Kg. Kelulut yang masih lagi berada di dalam daerah Marang. Kami bercadang untuk makan di Paka nanti sebab Joe mengidam bebenor air jagung kat sana tu. So jauh lagi Paka tu kan, kita pekena apa yang patut dulu la kat sini..

4.20pm @ Pantai Semarak, Kg.Kelulut, Marang




Antara menu wajib kalau ke Terengganu nih hehehe
Ok juga harga di sini, makan satar 2 cucuk, bungkus 3 cucuk, udang celup tepung sepinggan, air kelapa sebiji & air suam, kesemuanya RM20. Satar pula secucuk hanya RM2, berbanding RM3 semasa kami makan di Warung Aziz Satar & Otaka-otak, Kemaman dulu. Alhamdulillah dah alas perut, jom kita teruskan perjalanan. Tapi kelihatannya langit dah gelap la pulak!!

Mendung tak bererti hujan kan kan kan
Ku sangkakan panas hingga ke malam, rupanya hujan di petang hari hahaha.. Tak lama pun selepas makan tadi, lebih kurang 15 minit kami ride hujan mulai turun. Makin lama makin lebat!! Ishh tak boleh jadi ni terpaksa la berhenti untuk bertukar!!


5.20pm @ Merchang, Terengganu - Berpanas berpeluh sudah, kita berhujan pulak la ye
Perjalanan diteruskan menuju ke Paka, Terengganu. Dalam keadaan hujan yang agak lebat, kami berhati-hati menunggang. Apa yang bagusnya jalanraya di sini kurang selekoh, kebanyakannya lurus je, maka memang kuranglah sedikit risiko. Dari Merchang, kami meredah hujan lebat melepasi Pantai Pasir Puteh, Rantau Abang, Dungun & akhirnya tiba di Paka pada jam 6.00 petang. Sambil meredah hujan sambil menjeling ke kawasan pantai di kiri jalan. Hmm next time kena singgah kawasan Rantau Abang la pulak.

Joe yang dah lama mengidam nak pekena air jagung terus menuju ke sebuah kedai makan yang terletak berdekatan dengan The Qamar Paka Resort. Kedai yang bernama THR ni agak glamer di kalangan penduduk sini. Kami pun terus duduk, order makanan & minuman sambil menyidai baju hujan kami. Alhamdulillah hujan dah pun berhenti ketika itu. Ramai juga 'orang oil & gas' yang berpakaian overall melepak di sini, maklumlah Paka & Kerteh memang terkenal dengan aktiviti carigali minyak.

Sambil menunggu makanan, aku cuba menghubungi sorang rakan lama. Memang dah wasap dia pagi tu tapi dia tak pasti samada boleh lepak sekali sebab anaknya di hospital, Tapi memang dah rezeki namanya, kebetulan dia pun baru sampai rumah. Sambil menikmati bihun sup & sotong celup tepung, abam Nasa pun sampai.

6.00pm @ Paka, Terengganu
Tu dia air jagung, pekat, likat, padat, memang patut lah Joe dok mengidam haha
Segelas tak cukup woo, memang sedap!!
TQ Nasa sudi datang lepak dengan kami
Nasa ni sorang usahawan yang juga penduduk tempatan Paka ni. Kami pernah bekerjasama 5-6 tahun lepas untuk satu projek. Walaupun begitu orangnya sangat sempoi & sentiasa merendahkan diri. Apapun terima kasih belanja kami ye Nasa, lain kali kami datang lagi hihihi.. Jam pun dah hampir 7.00 malam, kami pun minta diri untuk meneruskan perjalanan, Tapi sebelum tu kita layan view di Paka ini pula..




Inilah dia kedai THR, terletak di Jalan Siakap, Paka, Terengganu
Subhanallah.. Bertuahnya orang Terengganu mempunyai pantai yang cantik sebegini kan. Apa yang agak menarik di sini, kami yang tinggal berhampiran Pantai Barat akan dapat menikmati suasana matahari terbenam, tapi di Pantai Timur ni hanya samar-samar cahaya, dah tentunya mereka pula dapat menikmati suasana matahari terbit di waktu pagi. Hari pun dah semakin gelap tapi perjalanan pulang masih jauh ni. Kami mengambil keputusan untuk solat & berehat seketika di Kerteh.

7.30pm @ Masjid Jamek Kerteh, Terengganu
Selesai solat, jam 8.00 malam kami meneruskan perjalanan menuju ke Kemaman. Kalau ikutkan dari Kerteh kami boleh terus keluar ke Highway LPT2, tapi kena cari ole-ole untuk anak bini di rumah dulu la hehe..

Jam 9.00 malam, kami tiba di gerai menjual keropok di Kemaman. Lokasi yang sama kami berhenti semasa 'Ride Satar' dulu. Kebanyakan gerai masih dibuka, jadi tak perlu risau tak dapat beli apa-apa pula la hehe..
Singgah mengisi minyak di Chukai, Terengganu

9.00pm @ Kemaman, Terengganu - owh ada lampu rupanya pintu gerbang tu ye
Lokasi ni adalah sempadan negeri Terengganu-Pahang. Selesai shopping maka tamatlah misi ride kami. Tibalah masa untuk pulang ke Klang. Perghh lebih kurang 300 km lagi ni hahaha.. Dari Kemaman, kami melalui Cherating untuk keluar ke Highway LPT melalui exit Jabor. Dah masuk highway barulah kami memecut sekitar 120 kmh.

Jam 10.00 malam, berhenti seketika di R&R Gambang arah Barat untuk mengisi minyak. Ketika ini masing-masing dah mula rasa letih hahaha.. Mana taknya, dengan keadaan jalanraya lurus tapi gelap, ditambah lagi dengan cuaca sejuk memang agak mencabar. Walau bagaimanapun perjalanan harus diteruskan kerana masing-masing perlu bekerja keesokan harinya.

10.00am @ R&R Gambang, Pahang
15-20 minit rehat cukuplah. Kami kembali memulas throttle di Highway LPT. Kali ni slow sedikit sekitar 100-100 kmh sahaja kerana risau hilang fokus dek badan yang dah letih. Joe yang berada di belakang sesekali tertinggal jauh. Hmm mungkin Joe dah tak larat sebab pagi tu pun dia bagitau tak lena sangat tidur semasa di Wakaf Che Yeh. 

Jam 11.30 kami tiba pula di R&R Temerloh arah Barat. Kami mengambil keputusan untuk tidur seketika. Baring punya baring, tak boleh tidur la pula mata ni. Joe kat sebelah dah lama berdengkur hahaha.. Cukup sejam, aku mengejutkan Joe & mengajaknya minum sebelum meneruskan perjalanan. Bila masing-masing dah segar, jam 1.00 pagi barulah kami start motor masing-masing.

11.00pm @ R&R Temerloh, Pahang
Terkebil-kebil takleh tidur sambil menikmati hiburan di tepi telinga hihihi..
Ok dah segar, jom balik!!
Dari Highway LPT, kami memasuki Highway Karak. Keadaan jalan agak licin kerana hujan. Waktu ni tak bernafsu dah nak layan corner, tambahan pula selekoh yang gelap & licin memang sangat merbahaya. Slow-slow kami layan & akhirnya jam 2.20 pagi kami tiba di R&R Genting Sempah, checkpoint terakhir sebelum sampai rumah.

2.20am @ R&R Genting Sempah, Pahang
Selesai isi minyak & berehat seketika, terus kami menuju ke Klang. Alhamdulillah jam 3.45 pagi selamat tiba di rumah masing-masing.. Fuhh alhamdulillah berjaya menyelesaikan 'Ride Pantai Timur' dengan jayanya.

Klang - Sg.Besar - Manong - Lenggong - Gerik - Jeli - Kota Bharu - Bachok - Setiu - Kuala Terengganu - Paka - Kemaman - Klang

Bermula 6.30am @ 03/09/2016, berakhir 3.45am @ 05/09/2016 dengan jumlah jarak perjalanan sejauh 1,279.5 kilometer. Seribu kilometer, seribu kenangan & pengalaman, kami ride bukanlah untuk mencipta rekod, hanya sekadar menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi & kepuasan menunggang kuda besi.. Terima kasih pada semua rakan-rakan yang sudi menerima kunjungan kami & sudi belanja kami makan (save duit makan hihihi). InshaAllah ada rezeki kami akan ke sana lagi nanti.


Berapa pula kos untuk ride kali ni?? Ini anggaran selepas digenapkan sen/ringgit, lebih kurang lah..

DAY 1:
Petrol -
1. Caltex Bandar Puteri Klang - RM4 (untuk botol spare sebab tangki masih penuh)
2. Petron Sg.Besar - RM8
3. Petronas Manong - RM5
4. Petronas Gerik - RM5

Makan/minum - 
1. Breakfast @ Sg.Besar - FREE
2. Lunch @ Gerik - FREE
3. Minum petang @ Gerik - RM5
4. Dinner @ Nilam Puri - FREE
5. Air mineral & lain-lain - RM20

DAY 2:
Petrol -
1. Shell Tok Bali - RM10 (isi tangki & botol spare)
2. Caltex Kelulut - RM5
3. Petronas Chukai - RM5
4. Petronas R&R Gambang - RM7
5. Petronas R&R Genting Sempah - RM5

Makan/minum -
1. Breakfast @ Kota Bharu/Bachok - 2x FREE
2. Minum @ Kelulut - RM20 (sorang RM10)
3. Minum @ Paka - FREE
4. Air mineral & lain-lain - RM20

LAIN-LAIN:
1. Hotel - RM90 (sorang RM45)
2. Repair fork motor - RM30
3. Tapau satar, keropok & lain-lain - RM80 (penuh 1 beg)

TOTAL RM264.00

Ada yang memerhati rupanya hehehe


Next ride ke mana pula?? Tungguuu..

#letsride
#everyonecanride
#ridepantaitimur
#ride2gether


- MattHafidz -