Thursday 2 March 2017

Ride Utara @ 25-26/02/2017 (DAY 1)

Selepas sesi warm-up Movistar baru ke Lojing-Cameron Highlands-Sg.Koyan bersama Wak Omar yang lalu, aku & Joe mula memikirkan sesuatu. Ya sesuatu yang pastinya bersangkut paut dengan jalanraya & alam semulajadi hahaha.. Diskus punya diskus, kami nak menjelajah ke utara pula. Maka Gunung Jerai menjadi tujuan utama kerana view yang agak menarik (dari sumber-sumber yang dipercayai). Sama-sama tak pernah sampai, tapi Joe dah pernah melalui sekitar kawasan tu.

Seperti biasa dah set tarikh & lokasi, kami pun menjemput beberapa rakan-rakan lain yang berminat. Ternyata jemputan kali ni mendapat sambutan yang menggalakkan. Walau bagaimanapun, target aku maksimum 10 orang rider sahaja. Bukan nak menyombong tak nak jemput ramai, cuma bila kata 2 hari 1 malam ride 1,000km dalam group yang besar memang agak mencabar untuk kawal pergerakan. Bila dah ada 5-6 orang yang setuju, aku pun merangka route & target lokasi yang akan kami singgah. Mengikut plan yang dipersetujui semua..

DAY 1 - 
Klang > Bkt.Kayu Hitam > Kuala Perlis > Alor Setar > Guar Chempedak

DAY 2 -
Gunung Jerai > Tg.Dawai > Kota Kuala Muda > Penang > Kuala Sepetang > Kuala Kangsar > Klang

Jarak pun lebih kurang sama dengan Ride Pantai Timur & Ride Selatan yang lalu, lebih +/- 1,200km, cuma kali ni lebih berada di atas highway untuk menjimatkan masa. Kalau nak lalu Sg.Besar-Bota-Manong-Kuala Kangsar extra 4-5 jam wehh.. Menghampiri tarikh ride, 10 orang rider dah bersetuju untuk join. Fuhh memang satu pengalaman yang baru sebab sebelum ni takde sambutan hangat hahaha.. Yang menariknya, ramai rakan-rakan baru akan turut serta.

Maka tanggal 25/02/2017, kami pun memulakan langkah untuk menjelajah ke utara. Dah siap segala persediaan, jam 6.30 pagi aku pun menggolekkan tayar menuju ke Caltex Bandar Puteri..

0630hrs @ Klang, Selangor - Bismillah..

Plan asal Ride Utara
Di Caltex, macam biasa aku akan mengisi minyak & bertemu Joe. Kali ni Joe datang bersama 2 orang rider baru yang sama-sama menetap di Bandar Puteri. Baru tak baru sangat la tapi tak pernah ride jauh-jauh katanya haha - Mirul (Y15) bersama rakannya, Aris (LC135).

Yang berdiri masih single & available, yang duduk tu pun bole available lagi kot haha..
Dari Bandar Puteri, kami menggunakan Highway KESAS & NKVE menuju ke checkpoint ke-2, stesen minyak Shell NKVE. Di sini, Ust.Lutfi (LC135), yang merupakan senior di sekolah kami dulu dah siap sedia menunggu bersama rakannya, Agis (Y15). Turut serta Zul (Y15), rakan kepada Joe. Selesai bacaan doa yang dikepalai oleh Ust.Lutfi, kami pun bergerak menuju ke checkpoint ke-3, R&R Rawang menggunakan Highway PLUS.

0715hrs @ Shell NKVE, Selangor
Lebih kurang jam 7.45 pagi, kami tiba di Petronas R&R Rawang untuk bertemu pula dengan Wanto (LX150), yang merupakan rakan sekolah kami. Seorang lagi adalah Mie (Y15), rakan poli Joe. Ok ride kali ni memang menarik sebab ada sebiji Vespa yang turut serta, kental kawan kita sorang ni sebab selalunya model-model Vespa terbaru ni kebanyakannya guna dalam 'town' je!

0745hrs @ R&R Rawang, Selangor
Dari R&R Rawang, kami menuju ke Hentian Sebelah Tg.Malim untuk mengisi minyak. Di sini juga, kami bertemu dengan rider terakhir - bang Deris (LC135) yang merupakan pak supir limo. Hari-hari pegang stereng, nak juga rasa pegang handle Mat, katanya haha jomm..

0830hrs @ Hentian Sebelah Tg.Malim, Perak
Ok dah cukup 10 orang rider. Sebenarnya ada sorang lagi, Nain (Y15), tapi oleh kerana hal-hal yang tak dapat dielakkan, dia akan gerak solo & berjumpa kami kemudian di Alor Setar. Seperti biasa, sebagai pemilik motorsikal berkuasa rendah dengan tangki yang kecil ni, aku dah merangka untuk berhenti mengisi minyak pada setiap jarak 80-100 km. Selain untuk mengisi minyak, dapat juga merehatkan badan nanti. Walaupun begitu kami tetap membawa minyak spare, yelah kan senang kalau ada yang memerlukan.

1015hrs @ Hentian Sebelah Spg.Pulai, Perak
Jam 10.15 pagi, kami tiba di Hentian Sebelah Spg.Pulai. Sebelum mengisi minyak, kita isi perut kita dahulu la. Kalau ikut plan asal nak bersarapan di R&R Bkt.Gantang pada waktu yang sama, tapi memandangkan dah lari timing, kita buat apa yang patut ikut kesesuaian la kan.

Nampak serius perbincangan di sini hihi..


Lokasi hentian ni agak tenang berbanding R&R Tapah yang sememangnya menjadi tumpuan pengguna Highway PLUS. Menu sarapan pun ok, ada soto, bihun sup, pau, nasi ayam pun ada. Pendek kata banyak pilihan. Perut dah kenyang, minyak pun dah diisi, kami kembali menunggang kuda besi masing-masing.

Selepas Hentian Sebelah Spg.Pulai, kami berhenti pula di R&R Bkt.Gantang untuk mengisi minyak. Alhamdulillah, rider-rider semua dapat beri kerjasama yang baik di setiap perhentian. Isi minyak, rehat dalam 5-10 minit, terus sambung tayar golek.

1130hrs @ R&R Bkt.Gantang, Perak - Bz betul pak supir nih

"Ishh betul ke aku ride sekali dengan geng kapcai ni??"
Dari R&R Bkt.Gantang, kami berhenti pula di Shell Juru, yang terletak selepas plaza tol Juru, Penang. Oleh kerana cuaca yang agak panas, selesai mengisi minyak, masing-masing mengambil peluang untuk berehat & membasahkan tekak seketika, sebelum meneruskan perjalanan.
1245hrs @ Shell Juru, Penang - muka ada senyum ati ada senang
Jam 1.50 petang, kami tiba pula di R&R Gurun. Perut masing-masing pun dah berkeroncong, masa untuk makan tengahari. Lapaq wehh..

1350hrs @ R&R Gurun, Kedah
Bila dah berada di tempat orang, aku pun mula mencari sesuatu yang mungkin tak boleh dijumpai di tempat sendiri. Pusing punya pusing, terjumpa sejenis ulam yang sememangnya tak pernah ku jumpa seumur hidup, hahaha kesian betul la kan.

"Ulam apa ni kak?" tanya aku
"Ntah la dik, akak juai ja hehe" jawab akak R&R yang berslang Kedah
"Tu ulam 'semumak' nama dia" jawab brader kat belakang aku

Err betul ke nama tu?? Boleh tahan sedap juga ulam ni bila dipadankan dengan bawal goreng, ikan kering goreng beserta sambal belacan, yang diakhiri dengan teh o suam. Fuhh alhamdulillah rezeki Allah beri, sedap baq hang!!


Ust.Lutfi selera lain macam bila dah masuk utara hehe..

Jauh lagi perjalanan ni jangan nak jelir sangat Joe oii..
Selesai berehat, makan tengahari, solat & mengisi minyak, kami meneruskan sesi menunggang kuda besi menuju ke penghujung utara Semenanjung Malaysia. Dari R&R Gurun, kami terus menuju ke Bkt.Kayu Hitam. Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya tiba-tiba sahaja hujan lebat mencurah-curah apabila melepasi exit Alor Setar (U). Apa lagi masing-masing terus 'bertukar' la kat tepi highway je sebab tak nampak sebarang jejambat pun. Dah lengkap ber'racing suit' (bak kata Zul & Agis), tak lama selepas tu hujan pun berhenti. Bukan sekadar berhenti, siap panas terik lagi. Hahaha tak boleh tahan menitik-nitik peluh pakai 'racing suit' wehh, kami pun berhenti la seketika di bawah jejambat untuk 'bertukar' kembali. Kalau hujan lagi kita redah je la ye haha..

1610hrs @ PLUS Highway (Alor Setar)

Jam 4.45 petang, kami tiba di penghujung utara Semenanjung Malaysia - Bkt.Kayu Hitam, Kedah. Kalau rider-rider lain mungkin dah standby 'buku merah', tapi kami sekadar menuju ke ZON Duty Free, nak lengkapkan matlamat je sebenarnya hehe.. Niat di hati nak ke seberang border tu memang ada tapi belum tiba masa lagi, tungguu..

1645hrs @ Kompleks ICQS Bkt.Kayu Hitam, Kedah - Serius betul abg jaket biru tu hihi..


Misi BNN830 & BNS2579 sampai ke border Siam dah berjaya hahaha..

Sekadar meninjau-ninjau di dalam Kompleks Bebas Cukai Bkt.Kayu Hitam, tak beli apa pun sebab takde apa yang menarik perhatian hehe.. Dah berehat & bersiar-siar lebih kurang, kami pun bergerak menuju ke Petronas untuk mengisi minyak, sebelum meneruskan perjalanan.

Posing poyo sket macam baru balik Siam hahaha..

1750hrs @ Petronas Bkt.Kayu Hitam - Di mana ada org pegang henpon, di situ ada peminatnya kikiki..
Memandangkan hari dah lewat petang, bang Deris minta untuk singgah sebentar di kedai motor kerana lampu motornya dah hidup segan mati tak mahu. Mungkin mentol dah 'kong' agaknya. Kami pun singgah la di sebuah kedai motor di pekan Changloon.

1800hrs @ Changloon, Kedah
Sementara menunggu bang Deris membetulkan masalah lampunya, ternampak pula gerai menjual murtabak di tepi jalan. Jeng..Jeng..Jeng..




Mula-mula Joe tapau sekeping dua, yelah takut tak cukup masa. Tapi bila dah ramai-ramai berkongsi murtabak sedap pula rasanya. Dari sekeping dua, jadi 10 keping hahaha.. Masing-masing tak nak duduk konon nak kejar masa, nak order air pun tak berani, sampai ada yang makan dengan glove kat tangan lagi. Sudahnya sorang oder air, kongsi ramai-ramai haha.. Nasib baik takde yang terus melekat kat gerai tu haha, tapi memang sedap pun murtabaknya. Memang kena repeat kalau ke sini lagi ni hmm..

Kerja-kerja membetulkan lampu motor bang Deris menemui jalan buntu. Dah tukar mentol tapi gelap juga. Pomen tu mencadangkan supaya pergi ke kedai lain untuk 'check' masalah wiring. Aku pun menemankan bang Deris. Kedai ke-2, ke-3 & ke-4 semua taknak buat, alasan tak cukup masa. Hmm hari dah nak gelap ni. Fikir punya fikir, teringat ada satu kedai yang kami belum pergi. Sembang punya sembang dengan pomennya, akhirnya dia pun kata OK boleh check. Fuhh legaa..


Kedai ke-5 baru pomen nak layan

Check punya check, coil magnet 'kong' katanya. Kos barang siap pasang RM108. Hmm macam mahal je sebab barang pun bukan ori Yamaha, tapi sebab perjalanan masih jauh bang Deris pun ON je la janji selesai masalah.

Gambar kredit utk Agis, sesi melepak bermula, ala-ala masa Ride Pantai Timur dulu kata Joe haha..

Bird-eye view to the corridor katanya

Yang biasa bawa buku merah mesti kenal persimpangan ni hehe..

Wanto the Italian Man siap bancuh nescafe utk kawan-kawan, memang steady!

Dalam masa melepak menunggu motor siap, aku pun teringat yang LC135 aku dulu pun pernah mengalami masalah yang sama, malah lebih teruk sampai semput-semput. Mula-mula tukar di kedai biasa, bukan barang ori kos lebih kurang RM60-70 juga kot. Tapi tahan 1-2 bulan je kot, kong semula. Terus pergi Hong Leong Yamaha Sg.Buloh. Barang ori siap pasang lebih kurang RM80 rasanya. Elok tahan sampai la aku jual motor tu.

Bila keadaan camni, memang tak boleh buat apa la kan. Terpaksa la hadap apa yang ada. So pengajarannya, bawalah sparepart yang penting jika ride jauh. Ride ramai-ramai motor sama jenis, boleh kot sorang standby satu barang ye tak. Pergi kedai bayar upah je, takdelah kena sembelih bak kata Bangman ATM hehe..

Tiba-tiba sifu turunkan ilmu, dengan pantas 2 ekor kuda ni masuk bengkel haha..
Alhamdulillah jam 7.45 malam, motor pun siap. Plan asal nak ke Kuala Perlis dah dibatalkan sebab waktu siang timing dah lari sejam lebih. Nampaknya kena batalkan juga plan ke Alor Setar sebab hari dah gelap. Hehe takpelah next time boleh repeat, yang penting rider semua selamat.

Dari Changloon, kami meneruskan perjalanan melalui highway terus ke Yan & menuju ke Guar Chempedak. 1st time masuk Guar Chempedak, 2-3 kali juga berpusing mencari jalan ke homestay. Akhirnya berjaya juga tiba di D'Guar Homestay.

2100hrs @ D'Guar Homestay, Guar Chempedak, Kedah
Homestay ni aku dah booking beberapa hari awal. Mungkin kerana bukan peak season, ownernya Pn.Zaihan pun tak ambil sebarang bayaran semasa booking. Memang betul pun sebab kami je yang berada di homestay yang terdiri dari 10 buah rumah semi-D ini. Apa yang bagusnya homestay ini terletak di dalam kawasan berpagar, jadi keselamatan kenderaan terjamin la kan.





Rumah yang disediakan memang agak selesa. Terdapat 3 bilik tidur dengan katil, aircond di 2 bilik, ruang tamu & dapur yang luas dilengkapi dengan dapur memasak, peti ais & sebagainya. Harga pun dalam lingkungan RM150-180, tapi kami dikenakan sebanyak RM200 untuk 'extra' tilam/toto & bantal untuk 10 orang. Sorang RM20 ok la tu kan. Apa yang paling penting adalah lokasinya yang memang hampir denga Gunung Jerai. So kalau ada yang nak bermalam di kawasan ni, boleh la jenguk-jenguk D'Guar Homestay untuk maklumat lanjut.

Dah berehat lebih kurang, kami keluar semula untuk mencari makan malam. Last makan murtabak je petang tadi kot. Lokasi homestay ni pun berhampiran dengan sebuah kedai makan - Satay Kandar. So tak payah nak pergi jauh-jauh, buat macam kampung sendiri je naik motor tak pakai helmet haha, tak sampai 500 meter pun kot.

2130hrs @ Satay Kandar, Guar Chempedak
Sementara menunggu makanan dihidang, sorang lagi rider - Nain pun sampai. Alhamdulillah selamat tiba kawan kita sorang ni, walaupun terpaksa meredah hujan dari Ipoh hingga ke Penang katanya. Lama tak ride dengan Nain ni, last semasa Ride Pangkor dulu. Ehh berapa lama daa.. Apapun memang respek sebab sanggup ride solo dari Klang semata-mata nak join kami naik Gunung Jerai esok pagi.

Lu memang kental bro!!
Dah nama kedai pun Satay Kandar, kita order la satay kan. Tapi malangnya tinggal 35 cucuk sahaja lagi, hmm boleh la buat kunyah-kunyah sementara makanan lain siap. Owh sori lupa nak snap gambar satay sebab masing-masing tengah lapar, macam ikan pirana sekejap je setel haha.. Boleh tahan sedap juga, pure daging ayam takde lemak, saiz lebih kurang Satay Hj Samuri, tapi paling best harganya hanya 50 sen secucuk!!



Menu kami malam tu 2 ekor siakap, tomyam, daging merah, sayur, sotong tepung, telur dadar & 2 jag air sirap/teh o ais. Makan 10 orang beserta dengan 35 cucuk satay tadi tu, tak sampai RM150 pun!! Perghh makanan sedap & murah, memang berbaloi datang sini. Next time boleh singgah lagi. Chicken cop pun ada dengan harga hanya RM4.90 tau, tapi sebab semua lapar nasik, tak heran dah la dengan chicken cop murah tu haha..

Selesai makan, kami kembali ke homestay untuk berehat, mandi, solat & tidur. Plan esok 7 pagi tayar golek ke Gunung Jerai..

Bersambung..


-matthafidz-

No comments:

Post a Comment