Friday 25 May 2018

Ride Kellie's Castle @ 23/04/2018 (PART 2/2)


Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak

Menghala semula ke pekan Gopeng, tak jauh dari Kellie's Castle tadi terdapat sebuah masjid. Memang elok sangatlah, boleh aku bersolat & berehat seketika. Cuaca pun memang agak terik ketika ini. 

1400HRS @ Masjid Ar-Rahmaniah, Kg.Kepayang, Batu Gajah

Masjid baru, walaupun kecil tapi selesa
Selesai solat, aku kembali menggolekkan tayar untuk pulang. Dah menjadi satu tabiat bila ride, aku akan cuba guna laluan yang berlainan untuk pergi & pulang. So, untuk kali ni aku akan menggunakan Jalan Persekutuan (Route 1), bermula dari Gopeng hingga ke Rawang.


Banyak juga kawasan/pekan yang tak pernah aku lalui sepanjang laluan ini. Jangan kata Perak la, yang di Selangor sendiri pun banyak tempat tak redah lagi hahaha.. Menyusuri pekan lama Gopeng, kelihatan beberapa baris bangunan lama yang masih dikekalkan. Teringat pula 'pekan mati' di Teronoh yang pernah aku jejaki sekali semasa menjadi 'pak supir', memang tenang & senyap sunyi walaupun berpenghuni. Mungkin dek kerana banyak perusahaan besar yang telah berpindah ke tempat lain, kebanyakan pekan di negeri Perak ini kurang pembangunan baru.


Pekan lama Gopeng
Aku berhenti seketika di tinggalan batang paip besar yang terletak tak jauh dari stesen minyak Shell. Sambil mendapatkan info, kelihatan seorang lelaki berbangsa cina memberhentikan Proton Iswara merahnya tak jauh dari aku & meninjau kawasan sekitar.


Akhirnya kami bertegur sapa & berbual-bual. Rupa-rupanya uncle ni dilahirkan & membesar di kawasan Gopeng ini, sekarang menetap di negeri Johor. Memandangkan ketika ini adalah Cuti Tahun Baru Cina, dia & isteri mengambil kesempatan mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak dahulu.


Menurutnya, paip ini dahulunya membekalkan air ke kawasan lombong bijih timah. Pada asalnya sepanjang 13.6 km paip air berdiameter 14 inci telah dipasang, dari kawasan Ulu Geruntom & Ulu Geroh. Berikutan peningkatan permintaan bijih timah pada tahun 1914, ianya telah dinaiktaraf ke saiz berdiameter 45 inci. Pada tahun 1930, dua batang paip lagi telah disambung menjadi panjang keseluruhan 15 km.

Permintaan timah telah menurun pada tahun 1970-an & akhirnya dihentikan operasi. Kesemua batang paip & tiang penyokong telah dirobohkan demi keselamatan orang ramai. Hanya tinggal dua batang paip sepanjang 30 meter ini sahaja yang dikekalkan, sebagai rujukan bahan sejarah.



Dari kisah batang paip hinggalah ke kisah mandi lombong sambil menangkap ikan zaman kanak-kanak dulu. Memang seronok berbual Uncle Lim yang peramah ni. Sembang lebih kurang, aku pun minta diri untuk beredar.

"U balik mana?"
"Klang,uncle"
"Waa jauh haa naik motor macam ni"
"Tak jauh la uncle, 2-3 jam sampai la"
"Bagus la, lain kali mari Perak lagi, ada banyak tempat u boleh tengok" 

Pesan Uncle Lim mengakhiri perbualan kami. Kembali memulas throttle, kelihatan pemandangan yang menarik di sebelah kiri sepanjang perjalanan - pemandangan gunung dari sebahagian Banjaran Titiwangsa nun jauh di sana. Haihh rugi tak ambil gambar haha..



Dari Gopeng, aku menghala ke Gua Tempurung pula. Perjalanan melalui jalan persekutuan ni memang menyeronokkan kerana dapat menikmati suasana kampung. Gerai durian pun banyak tapi tak lalu pula nak singgah & makan sorang-sorang hehe..

1515HRS @ Gua Tempurung, Perak
Beberapa bulan lepas aku dah sampai di Gua Tempurung ni. Ketika tu membawa rombongan satu syarikat dari KL ke Gopeng untuk aktiviti rafting di tempat sorang sahabat, Ajib. Ajib merupakan pemilik Outworld Expedition yang menjalankan aktiviti rafting & mempunyai basecamp di Gopeng. Boleh lawati White Water Rafting Gopeng untuk maklumat lanjut. Jadi, semasa mereka menjalankan aktiviti ketika itu, sempatlah aku meninjau kawasan ni.

Gua Tempurung merupakan gua batu kapur yang terpanjang & terbesar di Semenanjung Malaysia. Sangat sesuai untuk mereka yang meminati aktiviti 'caving', anda boleh berjalan masuk ke dalam gua batu kapur ini yang dilengkapi dengan lampu & tangga untuk keselesaan pengunjung. Terdapat 4 jenis pakej ditawarkan mengikut cabaran yang disediakan, dari 'beginner' hinggalah ke 'advance' yang akan berjalan menyusuri sungai di dalam gua tersebut.




Tak boleh nak meninjau lebih lama sebab hari dah semakin petang. Dari Gua Tempurung, aku melewati kawasan Kampar & Temoh sebelum tiba di pekan Tapah.


Pekan Kampar, Perak

Taman Rekreasi Temoh, Perak
Tiba di pekan Tapah, aku membelok hala ke Tapah Road. Tak pernah sampai sebenarnya, so nak tinjau apa yang ada di sana. Tapah Road merupakan sebuah pekan kecil. Di sini terdapat stesen keretapi yang merupakan stesen keretapi tertua di Malaysia. 

Tinjauan aku ke kawasan stesen ini mendapati bangunan stesen & rumah lama kakitangan Keretapi Tanah Melayu masih lagi dikekalkan, walaupun stesen baru telah dibina bagi menggantikan yang lama. Tapi oleh kerana keadaan sekeliling yang sangat sunyi tiada orang langsung, cepat-cepat aku beredar sampai terlupa nak ambil gambar hahaha.. Lagipun masa masuk ke kawasan ni kelihatan orang tempatan 'usha' pelik je, so macam tak sedap hati pula, tambahan pula aku sorang-sorang je kan.

1615HRS @ Tapah Road, Perak

Pemandangan stesen keretapi Tapah Road dari jambatan di jalan utama. Kelihatan stor & rumah lama di sebelah kanan.
Sedar tak sedar, rupanya aku belum makan tengahari lagi. Ni la akibatnya kalau dah leka meninjau sana sini hahaha.. Berpatah balik semula ke pekan Tapah, terlihat satu deret gerai makan di tepi sungai. Moh ler kita makan dulu yeop..



Best juga duduk makan di medan selera yang terletak bertentangan dengan Pejabat Jabatan Parit & Saliran Tapah ni, sebab terletak di tepi sungai. Makan menghadap kawasan hijau dengan deruan air sungai mengalir, tenang je rasanya. Kebanyakan gerai di sini dibuka pada malam hari, jadi tak banyak pilihan makanan pada waktu siang.



Selesai makan, aku meneruskan perjalanan. Dari pekan Tapah, aku melewati kawasan Bidor, Sungkai, Trolak, Slim River, Behrang, Ulu Bernam & Kerling sebelum berhenti mengisi minyak di Shell Kuala Kubu Bharu (KKB).

1830HRS @ Shell KKB, Selangor
Take 5 pekena nescafe sat
Selain dari plan aku untuk melalui jalan persekutuan dari Gopeng ke Rawang, ada satu lagi lokasi yang ingin aku sampai - Rawang Bypass (Route 37). Perjalanan dari Shell KKB ke sana mengambil masa lebih kurang 30 minit, melalui kawasan Rasa, Batang Kali & Serendah.

Rawang Bypass adalah highway tanpa tol sepanjang 9 km yang dibina sebagai jalan pintas untuk menghubungkan Serendah-Selayang. Jika sebelum ni pengguna jalanraya terpaksa mengambil masa hampir 2 jam kerana kesesakan lalulintas, kini ianya hanya mengambil masa 30 minit sahaja. 

1900HRS @ Rawang Bypass, Selangor


Menariknya di sini, selain menjimatkan masa perjalanan, highway ini merentasi kawasan tinggi bukit bukau yang menghasilkan pemandangan indah di sepanjang jalan. Highway yang baru dibuka pada 29 November 2017 yang lalu ini juga mempunyai jambatan yang tertinggi di Malaysia - 58.2 meter. Kalau kata setingkat bangunan tinggi sekitar 5 meter, bayangkan ketinggian jambatan ini bersamaan dengan 11 tingkat bangunan.


Alang-alang dah senja, aku ambil kesempatan menikmati pemandangan matahari terbenam di sini yang memang indah. Subhanallah memang cantik.. Walau bagaimanapun, pengguna jalanraya tak digalakkan untuk berhenti di sini memandangkan kenderaan yang lalu lalang di sini agak laju. Kalau sorang-sorang macam aku ni boleh la kot hehe..


Hari pun dah mula gelap, aku pun meneruskan perjalanan pulang ke Klang. Berhenti singgah solat di Plaza Tol Jalan Duta, alhamdulillah hampir jam 9.00 malam aku tiba di rumah.

Tapi.. cerita tak habis di situ hahaha.. Dapat pula jemputan dari rakan-rakan di Banting untuk ride ke Melaka, pekena asam pedas. Luruskan badan sekejap, jam 10.00 malam aku kembali menggolekkan tayar bersama yang lain menuju ke Melaka.

0130hrs @ Asam Pedas Pasar Borong, Batu Berendam, Melaka
Penampilan Amy yang sekian lama tak ride hahaha..
Dah kenyang balik la lagi apa mau haha..

Hampir 30 biji motor juga malam tu, dengan macam-macam masalah melanda akhirnya jam 1.15 pagi kami tiba di lokasi haha.. Macam biasa, Asam Pedas Pasar Borong di Batu Berendam menjadi pilihan kami, sedap, murah & yang penting tak perlu nak hadap traffic light yang bersusun menuju ke Bandar Melaka. 


Hampir jam 5.00 pagi sampai semula ke rumah. Hahaha dah macam overlander.. Nak kata gila sangat nak ride tu tak juga cuma menjaga silaturrahim sesama rakan-rakan.


-matthafidz-




3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih berkongsi pengalaman

    ReplyDelete
  3. Xdak sambungan ride ke? Sampai april 2018 je..
    Da 2 thn lebih x update

    ReplyDelete