Saturday, 2 April 2016

Ride Asam Pedas @ 23/03/16

Hampir 3 bulan aku menunggang tenggiling merah ni & hampir 3 bulan jugalah aku dok meracun si Joe untuk membeli motor yang sama. Hahaha tu la siapa suruh racun aku dulu. Akhirnya pertengahan bulan Mac 2016 lahirlah sebiji lagi Y15ZR hihi..

Dulu sama-sama BLC, kali ni BNN & BNS
Tu dia si biru silver. Motor dah keluar, mestilah kena ada sesi panas enjin. Kalau masa motor aku keluar dulu kami berdua beredah tengah malam di highway menuju ke R&R Seremban semata-mata untuk mengeteh hahaha, kali ni nak jauh sikit katanya.

Fikir punya fikir Melaka jadi pilihan sebab jarak yang tak jauh sangat. Lagipun memang plan nak ride malam memandangkan waktu siang masing-masing sibuk bekerja & Joe pula sibuk dengan aktiviti memancingnya di hujung minggu. So ok lah Melaka kan.


Ride kali ni lebih di atas highway. Yelah waktu malam tak berani la nak lalu jalan persekutuan walaupun sebenarnya itu yang lebih seronok. Cadangan asal nak pekena asam pedas di Pasar Borong Batu Berendam tapi kemudian tukar lokasi ke Kota Laksamana, atas cadangan abang kawasan Sham Spanar.

Pada 23/03/16, selesai isi minyak di Caltex lebih kurang jam 7.15 malam kami pun bertolak dari Bandar Puteri Klang, terus menuju ke 1st checkpoint, R&R Seremban. Dengan purata kelajuan 110-120kmh dalam masa 45 minit dah sampai di R&R Seremban Arah Selatan. Selesai solat & isi minyak, kami terus ke R&R Ayer Keroh Arah Selatan. Biasalah kapcai kan tangki kecil, kena la banyak kali berhenti.

Parking sat di Petronas R&R Ayer Keroh
Dari R&R Ayer Keroh, kami terus menuju ke Asam Pedas Kota Laksamana. Sebenarnya ni 1st time nak ke sana, tapi aku pernah hantar passenger di area kedai tu, so takde masalah la. Lagipun Melaka ni dah macam KL je bagi driver-driver limo hahaha.. Lebih kurang jam 9.40 malam sampai lah kami di Restoran Asan Pedas Kota Laksamana, Melaka. Sebenarnya sebelum bergerak tadi aku dah contact Asoi & mengajaknya lepak sekali, kawan semasa study dulu. Alang-alang dah sampai Melaka kan kita cari la peluang jumpa kawan-kawan lama.

Gambar Asoi semasa buat keje gilanya tak lama dulu haha
10 minit duduk, Asoi pun sampai. Dah lama tak jumpa macam-macam cerita la keluar. Cerita paling utama adalah kisah solo ride Semenanjung Malaysia tempoh hari. Hahaha selepas aku buat solo ride Cameron Highlands tu, Asoi PM aku. "Haa ko tunggu aku buat keje gila pulak". Rupanya tak lama lepas tu dia buat solo ride pulak, dari 6hb hingga 11hb Februari 2016 dengan jarak sejauh 2,222 km dalam masa 6 hari. Kalau nak tau lebih lanjut boleh ikuti kisahnya di http://asoipunyacerita.blogspot.my

Sembang punya sembang dah pukul 11 malam. Aku & Joe pun minta diri. Perut dah kenyang dengan asam pedas & roti john ni, kalau lepak lama lagi mau pejam mata hahaha.. Memandangkan waktu tu bukan hujung minggu, dapatlah kami pun pusing kawasan Bandar Hilir dalam keadaan tenang sebelum menuju ke highway.


Dari Bandar Hilir, kami terus ke Highway PLUS & berhenti seketika di R&R Ayer Keroh Arah Utara untuk mengisi minyak. Kemudian berhenti lagi di R&R Seremban Arah Utara sebelum meneruskan perjalanan ke Klang. Perjalanan pulang agak rileks kerana kurang kenderaan di atas highway. Walaupun begitu perlu lebih berhati-hati kerana dikhuatiri kenderaan lain tak nampak kita yang menunggang motor kecil ni, lebih-lebih lagi lori & bas.


Lebih kurang jam 1.30 pagi kami memasuki Highway Kesas. Berhenti seketika di Hentian Hicom sebelum menuju ke rumah masing-masing. Pada aku ride pada waktu malam ni tak memenatkan sebab cuaca sejuk & kenderaan pun tak banyak, cuma kalau nak buat 4-5 jam ride tu tak berani lagi kot, takut terlelap atas motor hihihi..


Total 347.3 km ride malam tu, lagi lebih dari ride ke Fraser Hill rupanya hahaha.. Kos untuk ride malam tu..

Petrol;
1. Caltex Bandar Puteri Klang - RM5
2. Shell R&R Seremban (S) - RM3
3. Petronas R&R Ayer Keroh (S) - RM5
4. Petronas R&R Ayer Keroh (U) - RM2.50
5. Shell R&R Seremban (U) - RM5

Makan/minum:
1. Air mineral - RM2
2. Redbull - RM5
3. 3 orang makan (asam pedas, roti john & air) - RM50

TOTAL RM77.50

Kos minyak tu mungkin lebih sikit sebab asyik nak memulas je, melayan orang bawak motor baru la katakan haha.. Jumpa lagi untuk ride bulan April nanti. Ke mana?? Tunggu..

#letsride
#everyonecanride

Wednesday, 30 March 2016

Ride Hundred Corner @ 21/02/16

"Mat, minggu ni apa plan?"
"Cuti, takde plan apa pun, apsal?"
"Jom ride Fraser Hill, tapi aku tak laju la.."
"No problem la kita ride santai lah"

Haha tu ayat pencetus ride kali ni. Si Ijal nak test V100 naik Fraser Hill katanya. Aku pun sebenarnya tak pernah sampai lagi ke sana. Bagus jugak idea si Ijal ni. Plan punya plan tak sampai seminggu pun, ada la 5 orang rider kali ni - aku (Y15), Ijal (V100), Faqih (Belang), Sufandi & Opie (125Z). Route kami adalah Klang > Kuala Kubu Baru > Fraser Hill > Lemang To'ki Bentong > Gombak > Klang, dengan jarak perjalanan lebih kurang sejauh 306km.
Atas permintaan Ijal, oleh kerana misi ride kali ni untuk menguji kemampuan V100 nya, so tak boleh la nak lenjan sangat, ride maintain & perlu berehat seketika setiap jarak lebih kurang 50-60 km. Aku pun membuat perancangan untuk setiap jarak tu kami akan berhenti di stesen minyak. Mudah kan, sambil merehatkan motor, masing-masing boleh mengisi minyak juga.


Breakfast dulu la sementara menuggu yang lain
Maka pada pagi 21/02/16, kami berkumpul di Bandar Puteri Klang. Selesai bersarapan & sesudah kesemua rider berjaya muncul, jam 8.30 pagi kami pun memulakan perjalanan. Perjalanan dimulakan menuju ke checkpoint pertama iaitu R&R Rawang. Dengan kelajuan 100kmh, kami tiba di Petronas R&R Rawang pada jam 9.15 pagi, tapi malangnya Petronas terpaksa ditutup ketika itu kerana terdapat kebakaran pada sebuah Ferrari di kawasan itu.


R&R Rawang - nak isi minyak tak boleh, kita ambil nafas je la
Kami pun meneruskan perjalanan & keluar di exit Serendah kerana ada yang kekurangan minyak. Tak sempat sampai stesen minyak pun dah abis minyak motor si Opie. Hihi apa lagi exercise la menunda motor dia hingga ke Petron Bukit Beruntung, nasib baik tak jauh sangat. Selesai isi minyak, kami pun meneruskan perjalanan menuju Kuala Kubu Baru & berhenti seketika di Petronas. Kali ni Ijal pula nak setting sikit V100 nya sebelum kerja-kerja mendaki bukit selepas ni. Dah nama pun rider, apa pun boleh la Ijal ni kalau pasal motor haha..


Petronas KKB - setting sat
Lebih kurang jam 10.40 pagi, perjalanan diteruskan & terhenti seketika di Empangan Sungai Selangor yang terletak tak jauh dari pekan Kuala Kubu Baru. Subhanallah memang cantik pemandangan di sini. Ianya memang menjadi tarikan pada setiap pengguna jalanraya di sini. Berhenti sekejap, posing lebih kurang & sambung perjalanan.

Empangan Sungai Selangor KKB
Selepas Empangan Sungai Selangor, kami melalui pula kawasan Perkelahan Sungai Chiling. Kawasan ini terkenal dengan air terjun, santuari ikan kelah & trekking. Dari info yang dipercayai, pengunjung perlu berjalan kaki sejauh 500 meter dari jalan utama untuk sampai ke kawasan air terjun. Memang tiada kawasan khas untuk parking kenderaan. Oleh kerana itu, banyaklah kenderaan yang diletakkan di kiri & kanan jalanraya. Jadi apabila melalui kawasan ini sila berhati-hati la ye.

Perjalanan diteruskan menuju ke Fraser Hill. Di sini terhidang selekoh-selekoh pendek, nampak menyeronokkan untuk kaki-kaki leper tapi perlu berhati-hati kerana silap leper, ke gaung lah jawabnya. Paling seronok dah tentu la yang naik skuter, pulas saja la sedangkan yang lain sibuk main gear haha.. Apapun keselamatan bersama diutamakan, lebih-lebih lagi agak ramai geng basikal yang mengayuh di sini.

Vape on wak!
Siapa kata tayar standard kilang tak boleh blah hihi
Perghh boleh tahan banyak juga selekoh kat sini ye. Sebelum mendaki ke puncak bukit, kami berhenti seketika. Kalau sebelum ni jalan dua lane (pergi-balik), untuk mendaki ke puncak hanya satu lane (pergi) sahaja oleh kerana ruang jalanraya yang agak sempit. Dah siap ambil nafas lebih kurang, apa lagi jom menuju puncak!!

Sikit lagi.. Sikit lagi..
Tolong brader ni ambil gambar sat, nanti dia boleh ambil gambar kita pulak
Ehh selamba je brader tu blah hahaha

Yeahh akhirnya.. 
Alhamdulillah tepat jam 12.00 tengahari, kami tiba di Fraser Hill. Tumpuan utama dah tentulah menara jam. Apa-apa hal posing kat menara jam dulu la kan. Walaupun matahari dah tegak, suhu di sini agak dingin berbanding Cameron & Genting. Mungkin faktor keadaan persekitaran yang masih lagi 'natural' kan. Dah posing lebih kurang, kita cari tempat makan dulu untuk alas perut sebelum ke destinasi seterusnya nanti.

Sejuk punya pasal, oder air panas tapi 5 minit dah sejuklah

Deretan kedai makan yang menjadi tumpuan pengunjung

Kalau ada bawa stiker kelab boleh la tepek di kedai makan ni
Oleh kerana masing-masing tak tahu sangat pasal kawasan ni, kami pun minum sahaja di sebuah warung di tepi jalan. Selesai minum, kami bersiar-siar lebih kurang & terjumpa pula tempat makan yang memang menjadi tumpuan pengunjung Fraser Hill ni. Hahaha hantam sajalah kan, yang penting dah sampai. So jika ada yang tak pernah ke sini, belok kiri di menara jam tu anda akan jumpa surau, tempat makan, tempat penginapan & berbagai lagi tempat menarik di sini.






Minum sudah, bersiar-siar pun sudah, masa untuk bergerak ke destinasi seterusnya. Lebih kurang jam 1.00 petang kami pun menggolekkan tayar masing-masing menuju ke Bentong, Pahang. Kalau semasa mendaki tadi 1-way, turun dari Fraser Hill ni pun sama juga 1-way. Ketika menuruni Fraser Hill jangan lupa toleh ke kiri kerana di sini terhampar pemandangan hijau yang memang indah.

Selesai turun ke jalan utama, sekali lagi selekoh-selekoh pendek terhidang. Di waktu inilah tercetusnya nama 'Ride 100 Corner' ni haha.. Mana taknya, kalau dikira selekoh selepas Sungai Chiling tadi, naik ke Fraser Hill & turun semula hingga ke Tranum, memang lebih dari 100 selekoh yang kami lalui, hingga ada yang dah naik lemau melayan haha.. Ok lah ni, training untuk ke '1000 Corner' katanya. Corner, corner juga tapi di sini tak boleh nak layan sangat oleh kerana keadaan jalanraya yang kurang baik & kawasan sekeliling yang sunyi.




Fuhh penat layan corner bai hihihi
Penat melayan corner, kami berehat seketika di tepi jalan. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Bentong, Pahang. Jam 2.30 petang, kami tiba di Petronas Bentong untuk mengisi minyak & solat. Selesai solat, apa lagi terus menuju ke Lemang To'ki. Plan asal nak singgah di Lemang To'ki yang lama, tapi oleh kerana kami dah melepasinya, kami pun menuju ke kedai barunya tak jauh dari Petronas Bentong tu. Lagipun memang menghala ke Highway Karak kan.

Superbike tak putus keluar masuk Petronas ni, berapa sales hujung minggu agaknya ye
Lemang To'ki ni adalah antara destinasi popular di kalangan bikers seantero Malaysia. Mungkin kerana jarak yang tak berapa jauh dari Kuala Lumpur, tempat makan yang agak santai & keenakan lemangnya yang membuatkannya jadi tumpuan pada setiap hujung minggu. So, kami pun tak nak ketinggalanlah, jom makan!!


Gabungan lemang & ABC memang meletop hahaha
Aku yang bekerja sebagai 'pak supir' ni, yang mengharungi jalanraya dalam keadaan panas terik setiap hari memang tak berani la nak layan lemang ni, takat cuit kawan-kawan punya je sikit-sikit. Kena pulak dengan cuaca terik ni perghhh memang melekat la mata nanti hahaha.. Dah puas mengadap lemang, rendang, ABC & sebagainya, jam 4.00 petang kami pun menggolekkan tayar pulang melalui Karak Highway.

Amik nafas di Tol Gombak

Memang tak dinafikan cuaca ketika itu agak panas. Dua kali juga berhenti berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Klang. Sampai di Klang, kami singgah pula di kawasan Berkeley untuk membasahkan tekak yang sememangnya kekeringan dek panas mentari. Dah selesai minum, kami pun bersurai pulang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah aku selamat sampai di rumah pada jam 7.00 petang.

Selesai ride kali ni bersama kawan-kawan lama (Ijal, Opie & Sufandi) yang kali terakhir ride bersama ke Pangkor dulu & kawan baru (Faqih - officemate Ijal). Walaupun masing-masing dah melewati usia 30-an tapi minat kami tetap sama hehe.. Apapun syabas Ijal kerana misinya tercapai untuk menguji ketahanan jentera V100 nya. InshaAllah akan ada ride bersama lagi selepas ni..


Untuk ride kali ni, total jarak sejauh 303.9km dengan kos..

Petrol;
1. Caltex Bandar Puteri Klang - RM4 (kasi full tank dengan balance yang ada)
2. Petron Bkt Beruntung - RM5 + RM3 (minyak spare tapi Opie yang guna hihi)
3. Petronas Bentong - RM5

Makan/minum:
1. Breakfast @ Klang - FREE Ijal belanja
2. Air mineral - RM2
3. Minum @ Fraser Hill - RM5
4. Lunch @ Lemang To'ki - RM28 (makan + tapau lemang/rendang)
5. Minum petang @ Klang - FREE lagi

TOTAL RM52.00

Errr tak banyak kot, minyak pun tak sampai RM20 hehe.. So kalau rasa teringin nak ride, tak payah fikir panjang sangatlah. Hahaha pedulikkan kata orang, kita buat apa yang logik & mampu oleh diri sendiri. Be yourself!!

#letsride
#everyonecanride

Thursday, 17 March 2016

Syamille Agro Farm @ 12/02/16

Tepat jam 7.30 malam, kami tiba di Syamille Agro Farm. Kawasan ini adalah sebuah ladang yang dibangunkan menjadi resort yang sememangnya sesuai untuk mereka yang inginkan suasana berehat & bersantai di kawasan semulajadi. Produk utama mereka adalah madu kelulut. Juga terdapat sebuah sekolah tahfiz di sini yang dinamakan 'Maahad Tahfiz An Nuri'. Kebetulan pula kami tiba ketika azan Maghrib berkumandang, dengan suasana kampung yang menghijau & cuaca yang sejuk, terasa begitu tenang sekali. Selesai check-in, cadangnya hendak makan malam di kawasan Kuala Kangsar, tapi oleh kerana dah keletihan, kami makan di restoran yang disediakan di sini sahaja. Sesudah makan, terus zzz...

Pemandangan pertama sejurus memasuki kawasan Syamille Agro Farm ini
Keesokan paginya, belum pun sempat bersarapan, budak-budak dah sibuk nak mandi sungai. Sungai tak sungai sangatlah, anak sungai je pun hihi.. Sebenarnya kami menginap di sini bersama dua lagi keluarga abang-abang ipar aku. So bila dah ramai berkumpul, budak-budak ni memang seronoklah sebab ada sepupu sepapat mereka.





Oleh kerana keterujaan mandi di anak sungai yang mengalir dari Lata Perahu ni, aku & iparku terpaksa mengambil 'shift' untuk memantau budak-budak ni. Tak mau naik dah, lantak kome la haha.. Sementara itu, yang tak mandi bermain di playground. Dah main lebih kurang, kami pun bersarapan di restoran yang disediakan.


Playground terletak di hadapan chalet, masa check-in semalam tu pun budak-budak ni dah main seround sebenarnya haha

Kerusi & meja restoran yang di'custom made' dari kayu, menarik kan??
Menjamu selera sambil menikmati bunyi deruan air terjun ke dalam kolam ikan
Makan time!! Perghh geram betul tengok ikan-ikan nih, rasa nak tangguk je
Selesai sarapan, kami pun bersiar-siar di dalam kawasan ini sambil menikmati udara yang nyaman. Subhanallah memang menenangkan jiwa berada di sini, hanya bunyi air yang mengalir & burung-burung berkicauan sahaja yang kedengaran. Jauh dari sebarang bunyi kenderaan yang lalu lalang. Tak macam rumah aku, walaupun terletak di dalam kampung, tapi masih boleh dengar bunyi kenderaan dari Kesas Highway, lebih-lebih lagi malam minggu hahaha.. Selain ladang lebah & kolam ikan, di sini juga terdapat kandang rusa. Ok jom kita tinjau..








Antara sarang lebah yang digunakan untuk menghasilkan madu kelulut

Surau


Pejabat pentadbiran


Dewan serbaguna




Bersama famili abang Mail & abang Omar

Selesai segala aktiviti di sini, lebih kurang jam 12 tengahari, kami pun berangkat untuk menuju ke destinasi seterusnya. Kali ini abang Mail akan 'lead' sebab dia dah biasa dengan kawasan Kuala Kangsar ni sebab memang laluannya jika hendak ke Kelantan. Ok follow the leader je lah. Apa-apa hal cari makan dulu lah..

Jalan Lenggong - Gerik, tak pernah lalu naik motor ni, mesti mau try lepas ni hehe
Lokasi makan tengahari - Restoran Tasik Raban


Ikan bakar kaloi antara menu utama di sini, memang mantop!!

Pemandangan Tasik Raban dari belakang R&R Tasik Raban
Lokasi makan tengahari kami adalah Restoran Tasik Raban, Lenggong. Tak jauh pun dari resort yang kami menginap, lebih kurang dalam 15 minit sahaja. Di sini, menu utamanya adalah ikan bakar air tawar, ikan pekasam & lauk-pauk kampung. Beratur lauk tu.. Harga pun berpatutan & tempat pun selesa seakan sebuah R&R yang mana terdapat tandas & surau. Selesai makan, perjalanan diteruskan menuju Bandar Kuala Kangsar. Selepas melepasi Jambatan Raja Muda Nazrin, kami berhenti seketika menikmati keindahan Tasik Raban.


Perjalanan diteruskan menuju ke Bandar Kuala Kangsar, satu lokasi yang tak pernah ku jejaki seumur hidup hehe.. Menyusuri kawasan ini seakan di Bandar Klang juga, yelah sama-sama bandar diraja kan. Tempat wajib singgah di sini sudah tentunya Masjid Ubudiah Kuala Kangsar. Masjid ini adalah masjid diraja di Negeri Perak, yang mana telah dibina pada tahun 1913. Tapi kalau ikut pada sejarahnya hanya siap pada tahun 1917 selepas beberapa tragedi yang membuatkan kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan. Ianya antara masjid yang tertua & tercantik di Malaysia. So apa lagi kita ronda di sekitar masjid ini..



Abang iparku ini malu-malu pulak nak selfie hihihi






Selesai mengerjakan apa yang patut di sini, tekak pula dah terasa dahaga. Pusing punya pusing sampai la kami di kawasan tepi sungai, yang mana banyak tempat makan. Tapi malangnya si Qistina & Idzuddeen dah baik punya lena dalam kereta, maka terpaksa la aku menjadi bodyguard mereke ni sementara wife bawa Idzanee & Qaisara pergi makan. Maka tak dapatlah nak buat sesi fotografi lagi hehe..

Lebih kurang jam 5.30 petang kami semua pun berangkat pulang & tiba di Klang jam 9.00 malam kerana keadaan trafik yang agak sibuk di PLUS Highway. Percutian selepas ni ke mana pula? Tunggu..