Monday 14 March 2016

Ride Daun Teh @ 31/01/16 Part One

Bila dah ada motor ni, mulalah gian nak memulas throttle. Fikir punya fikir, Cameron Highlands menjadi pilihan aku. Pertama, memang dah lama sangat tak pergi, kali terakhir dengan keluarga pada tahun 2010 kot. Keduanya, nak cuba keupayaan Y15 ni mendaki & meleper hehe.. Aku pun berbincang dengan Joe, macam biasa la selaku penasihat ride aku haha.. Joe bagi cadangan, dari Klang pergi ke Cameron Highlands melalui Tapah, kemudian turun melalui Sg Koyan > Bentong > Klang. Wow.. memang route baru yang tak pernah aku lalu seumur hidup. Jumlah perjalanan lebih kurang 543km, memang agak menarik untuk ride kali ni.



Bersama Joe, aku mengajak Pejal Omer untuk join sekali. Si Pejal memang gian nak ride je sejak beli Kawasaki Versys 650cc tahun lepas. Tu pun dah beberapa kali terlepas ke Siam haha.. Ok set masing-masing setuju. 3 buah motor akan ride kali ni, Y15, Lagenda & Versys, hantam sajalah. Tapi manusia hanya mampu merancang, Tuhan penentu segalanya. 2 hari sebelum ride, Joe diserang gout la pulak!! "Takpe Mat, aku makan ubat ni ok la Ahad nanti"

Malam sebelum ride tu aku confirmkan semula. Tiba-tiba si Pejal ada hal peribadi pulak tak dapat join. Joe pulak masih belum ok dari goutnya. Hmm tak boleh jadi nih, ride mesti diteruskan. Nampak gaya solo ride je lah. Keesokan paginya, 31/01/16 jam 7.30 pagi aku pun menggolekkan tayar..

1st pitstop - R&R Rawang, sarapan & isi minyak
Lebih kurang 40 minit aku sampai di R&R Rawang. Singgah sarapan dulu lah. Kebetulan masa parking motor, ada brader naik Yamaha XJ6 parking juga. Aku pun mempelawa dia sarapan bersama. Sembang punya sembang, brader ni dari Jln Kebun, alahai jiran tetangga rupanya. Pagi tu dia nak ke Tapah menghadiri pengebumian salah seorang ahli keluarga staffnya. Bila ditanya aku ke mana, terkejut dia.. 

"Ko biar betul sorang-sorang ride pergi Cameron Highlands naik kapcai nih"
"Hahaha ala bang, sekali sekala kita buatlah kelainan sikit"

Selesai sarapan, aku pun minta diri. Singgah di Petronas R&R Rawang isi minyak, beli sebotol mineral, sebotol 100 Plus & sambung golek tayar. Syok juga bawa Y15 ni long distance sampai tak sedar meter digital aku mencecah 130kmh. Tork memang sedap walau dihambat angin kuat dari lori & bas tapi masih boleh maintain speed. Aku maintain 110-120kmh je & target next pitstop adalah R&R Tapah untuk isi minyak. Tapi belum sampai Sungkai meter minyak tinggal 1 bar je. Ahh sudah, sedap sangat memulas throttle agaknya hehe.. Aku pun ambil keputusan keluar exit Sungkai & isi minyak di Shell. Isi dalam tank & isi dalam botol sebagai minyak tambahan.

2nd pitstop - selesai isi minyak di Shell Sungkai, ambil nafas sat 
Perjalanan diteruskan ke exit Tapah. Keluar je dari highway, aku menyusuri jalan kampung menuju ke Cameron Highlands. Tak ingat sangat sebenarnya, sengaja tak nak guna waze, ikut je la signboard. Orang lain boleh ke Siam ikut signboard takkan aku boleh sesat pulak kan hahaha..

3rd pitstop - Air Terjun Lata Iskandar
Lebih kurang jam 10.45 pagi, aku tiba di kawasan Air Terjun Lata Iskandar. Mungkin masih awal, jadi keadaan lalulintas agak terkawal. Kalau peak hour ni dah tentu penuh kiri kanan jalan dengan kereta yang diletakkan oleh pengunjung air terjun ni. Aku singgah di satu gerai mendapatkan setin Redbull buat menyejuk tekak, panas jugalah masa nih. Selesai sesi mengambil nafas, aku pun meneruskan perjalanan menuju puncak, hihi..




3rd pitstop - Ladang Teh Bharat
Selepas 45 minit melayan corner, pada jam 11.30 pagi akhirnya selamat sampai di Ladang Teh Bharat. Alhamdulillah macam tak percaya pulak soloride sampai ke sini hehe.. Lama juga aku melepak kat sini, menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini. Sempat juga berborak dengan sekumpulan rider EX5 dari Ipoh. Perjalanan diteruskan untuk melaksanakan misi 'Ride Daun Teh' - cari teh la lagi apa haha..


Cameron Valley Tea House


Hajat di hati nak mengeteh di tepi ladang tapi makaiihh ramainya umat. Belum kira yang beratur tunggu turn nak minum lagi. Hmm apa boleh buat, kita 'take-away' je la teh dalam 2-3 kotak. Haha jadilah daripada kempunan nanti. Aku pun sambung menggolekkan tayar ke Tanah Rata, mencari kedai untuk makan tengahari.




Pusing punya pusing, jam dah pukul 12.30 tengahari. Ramai juga pengunjung Cameron Highlands time begini. Aku pun singgah di sebuah gerai di Tanah Rata untuk mengisi perut. Selesai makan, sesi golek tayar bermula kembali. Apa-apa hal pun, singgah di Shell Ringlet untuk isi minyak dulu lah.

#letsride
#everyonecanride

No comments:

Post a Comment